Top Ad 728x90

Kakitangan awam terjebak ah long

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan kira-kira dua hingga tiga peratus daripada penjawat awam yang berkhidmat di sini 'terjebak' dengan ah long sehingga gaji bulanan mereka sering tidak mencukupi.

Menurut beliau, mereka yang terlibat adalah terdiri daripada kakitangan sokongan yang didapati sanggup meminjam daripada ah long antaranya semata-mata untuk membeli kereta.

Malah, beliau turut melahirkan kebimbangan terdapat golongan muda di sini terlibat dengan perjudian haram di luar kawasan Putrajaya hingga menyebabkan akhirnya mereka terjebak dengan ah long.

''Dalam kes terbaru yang diterima oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen, ada seorang kakitangan awam meminjam dengan ah long sebanyak RM7,800 untuk membeli kereta.

''Selama beberapa tahun, dia hanya membayar bunga sedangkan pinjaman pokoknya tidak berganjak daripada jumlah asal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat di perumahan Fasa 4 dan 3, Presint 9 di sini hari ini.

Tengku Adnan bagaimanapun berkata, masalah kakitangan awam meminjam dengan ah long masih terkawal dan ia hanya membabitkan segelintir daripada golongan terbabit.

Justeru, beliau meminta agar kerajaan tidak membenarkan kakitangan awam membuat potongan gaji bagi membayar pinjaman daripada syarikat-syarikat peminjam wang.

''Saya nasihatkan agar kakitangan awam jangan terlalu banyak berhutang, kalau tidak ada duit jangan beli (sesuatu barangan) dulu, sabar dan kumpul duit dahulu," katanya.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana masih membenarkan kakitangan awam yang mempunyai rumah atau bekerja di luar lingkungan 20 kilometer daripada Putrajaya untuk terus tinggal di kuarters kerajaan di sini.

''Arahan tentang jarak di luar 20 kilometer itu tidak dilaksanakan, jadi mereka yang dipindahkan tempat kerja seperti ke Kuala Lumpur atau Bangi masih boleh tinggal di sini," katanya.

Selain itu katanya, masalah ruang letak kereta di kawasan perumahan dan pejabat telah cuba diselesaikan termasuk memastikan dalam semua pembangunan baru, setiap unit rumah disediakan satu tapak meletak kenderaan.

Terdahulu pada majlis tersebut, Tengku Adnan menyampaikan sumbangan 23 unit kerusi roda untuk diedarkan kepada penduduk yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang uzur.

Program itu juga mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan yang membuka ruang pameran seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pusat Khidmat Ahli Parlimen turut menaja setiap penduduk dan ahli keluarga mereka bagi membuka akaun Tabung Haji.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90