Top Ad 728x90

TPM: 20% pelajar teknik, vokasional pada 2015

Kerajaan menyasarkan peningkatan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional, teknik dan kemahiran (Voctech) sebanyak 10 peratus kepada 20 peratus menjelang 2015.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara langkah meningkatkan bilangan itu melibatkan pembinaan tiga Sekolah Menengah Vokasional (SMV) baru di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan jumlah itu akan ditambah dalam RMK-10.

"Pembinaan sekolah-sekolah ini memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 4,000 pelajar mengikuti pendidikan dalam aliran berkenaan," katanya menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Noraini meminta Kementerian Pelajaran menyatakan langkah yang diambil untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional supaya setanding dengan negara Eropah yang mampu menarik 50 peratus pelajarnya mengikuti aliran itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak kementerian sedang mengkaji kemungkinan membenarkan lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memasuki SMV berbanding sekarang yang hanya melibatkan lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Katanya, kementerian juga akan menstruktur semula Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada SMV dalam tiga fasa dengan memberi fokus kepada program vokasional dan kemahiran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementerian akan menambah baik mata pelajaran vokasional di sekolah menengah harian supaya setaraf dengan SMV bagi membolehkan sekolah itu turut diiktiraf oleh pihak industri dan badan profesional.

''Tumpuan mata pelajaran ini adalah bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran pekerjaan, keusahawanan dan jati diri yang tinggi," ujarnya.

Bagi meningkatkan daya saing guru vokasional dan kemahiran sedia ada, katanya, seramai 4,764 orang akan dilatih semula supaya sekurang-kurangnya mencapai kemahiran minimum iaitu tahap tiga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mulai tahun depan.

''Untuk memastikan murid mendapat pendidikan berkualiti, kementerian bercadang mengambil guru baru dalam kalangan mereka yang mempunyai kemahiran diiktiraf mengikut bidang diperlukan oleh pasaran terbuka.

''Justeru, proses pengambilan guru vokasional dan kemahiran baru akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sehingga mencecah seramai 10,000 orang pada 2015," katanya.

Beliau berkata, pemegang SKM tahap empat atau setara dengannya serta tenaga mahir yang berpengalaman sekurang-kurangnya selama lima tahun akan diberikan pertimbangan untuk dipilih mengajar mata pelajaran vokasional di sekolah.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90