Top Ad 728x90

Tugas perguruan jadi beban jika pendidik tidak hayati etika kerja

Merujuk kepada tulisan dalam ruangan ini bertajuk ‘Guru perlu anggap beban demi pembangunan ilmu anak bangsa’ bertarikh 10 Jun lalu yang dijawab Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran.

Saya berasakan tidak semua arahan pentadbir sekolah itu beban. Kerja perguruan akan menjadi beban jika kita tidak dapat menghayati etika perguruan dan tanggungjawab sebagai guru. Kerja bidang perguruan ini menuntut rasa keikhlasan yang bukan calang-calang. Keikhlasan yang tinggi akan menghasilkan hasil kerja yang bermutu tinggi.

Soal pentadbir mengarah adalah menuntut keikhlasan. Oleh itu, sifat keikhlasan amat dituntut kita mendidik. Adalah wajar pentadbir sekolah menggarapkan sifat ikhlas ketika bekerja. Begitu juga pihak atasan Kementerian Pelajaran jangan lupa sentiasalah menyemaikan sifat ini di kalangan guru, sama ada lama atau baru.

Saya sudah 18 tahun menjadi guru. Kadangkala berasa terkilan, sedih arahan demi arahan diterima. Ada kala arahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bertindih.

Otak akan berserabut, sifat ikhlas mula hilang. Beban guru terjadi kerana arahan selalu bertukar pada saat akhir, keputusan mesyuarat guru sekolah tidak dipatuhi dan ada kalanya saya berasa seolah-olah ada dua atau tiga pengetua di satu sekolah.

Apalah salahnya pentadbir sekolah itu menyemaikan sifat ikhlas, jujur dan amanah di kalangan guru setiap kali taklimat atau mesyuarat. Perlu diingat ada sesetengah pengetua amat berkesan menanamkan sifat yang positif ini.

Namun, tiada keselarasan antara satu sekolah dengan sekolah lain. Adalah dicadangkan, Pihak Kementerian Pelajaran menggariskan panduan penyemaian sifat yang positif ini di seluruh sekolah di kalangan guru di Malaysia.
Seingat saya, kira-kira 17 tahun lalu, seorang pengetua yang berdedikasi mendidik saya sebagai guru baru banyak kali mengulang sifat ini pada perjumpaan guru sekolah sama ada pada peringkat daerah atau taklimat sekolah.

Tidak dinafikan pasang surut cabaran menghadapi pelajar ada kalanya mencabar keimanan saya. Namun, saya membisikkan dalam diri bahawa aku ingin menghalalkan gajiku, Tuhan akan menilai setakat mana amanah yang dipikul sudah ditunaikan dan seandainya murid sekolah ini adalah anakku.

Pada kala itu, sifat ikhlas, terharu akan timbul. Pada saya, tiada yang lebih bermakna kecuali bila anak didik berjaya dalam kurikulum, kokurikulum dan penampilan diri.

ADILAH,
Nyalas, Melaka.

- FORUM BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90