Wardina hasilkan dua buah buku


Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini melancarkan dua buah buku untuk golongan ibu dan anak-anak hasil karya pelakon dan pengacara televisyen terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 31.

Buku berkenaan adalah ‘Mama, Saya Lapar’ dan ‘Siapa Alien’ dihasilkannya sebagai usaha untuk memberi pengetahuan dalam ilmu keibubapaan dan memupuk minat membaca dalam diri kanak-kanak.

Wardina berkata, buku tersebut ditulis untuk mengembangkan lagi penghasilan buku tempatan genre bidang keibubapaan dan kanak-kanak dalam bahasa Melayu memandangkan ia agak terhad di pasaran.

“Agak sukar untuk saya mendapatkan buku berbahasa Melayu yang ringkas dan berkualiti tinggi untuk anak-anak saya.

“Kebanyakan buku di pasaran berbahasa Inggeris dan ini merupakan sebab utama kenapa saya menulis buku-buku ini,” katanya.

Wardina berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku tersebut di PNM di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar dan selebriti TV, Datin Nor Juma Habib Mohamed yang juga merupakan sahabat karib Wardina.

‘Mama, Saya Lapar’ adalah buku yang ditulis khas untuk golongan ibu manakala buku ‘Siapa Alien’ pula adalah buku bersiri cerita berilustrasi untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Raslin berkata, buku tersebut memberi impak yang amat bermakna kepada usaha kerajaan dalam mengembangkan lagi industri buku tempatan dan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, buku genre kanak-kanak seperti ini jarang dihasilkan dan kebanyakannya dialih bahasa daripada buku-buku asing.

“PNM berharap agar lebih banyak buku berkualiti seperti ini dihasilkan untuk membimbing anak-anak dalam bahasa Melayu.

“PNM juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana penulis, penerbit dan masyarakat untuk mencapai matlamat melihat rakyat Malaysia mengamalkan budaya membaca,” katanya.

Menurutnya, buku-buku itu sangat berkualiti terutamanya dalam bidang keibubapaan kerana ia sarat dengan teladan dan pengajaran.

“Ia akan memberikan pendedahan kepada masyarakat dengan lebih mendalam serta menyemai rasa kecintaan terhadap ilmu pengetahuan,” jelasnya.

Tambah Raslin, Wardina kini tergolong antara 5,000 penulis buku di negara ini.

Buku ‘Mama, Saya Lapar’ dan ‘Siapa Alien’ berharga RM19.90 dan RM19 boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url