Syed Danial Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja baru ganti Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah


KUALA LUMPUR 7 JAN 2011 - Datuk Syed Danial Syed Ahmad, 66, dilantik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang baru berkuatkuasa 10 Januari ini.

Beliau menggantikan Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, yang bersara hari ini selepas berkhidmat sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun.

Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Sabtu Awab, berkata Syed Danial yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dan Sarjana dari Universiti of Wisconsin, Madison di Amerika Syarikat, pernah menyandang jawatan Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.

"Syed Danial telah dilantik dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung tahun lalu," katanya pada majlis tertutup meraikan Engku Ngah Ibrahim di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini, hari ini.

Sabtu berkata, Syed Danial dilantik secara kontrak selama tiga tahun.


Syed Danial, yang berasal dari Pulau Pinang, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Dalam Negeri.

Engku Ibrahim, 79, juga adalah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang paling lama menyandang jawatan itu.

- BERNAMA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.