DUN Johor bubar hari ini - Onn Hafiz

 


Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, di sini petang ini.

Onn Hafiz berkata pembubaran DUN itu dilakukan setelah menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi ini.

Ia sekali gus mengakhiri spekulasi pembubaran DUN Johor yang hangat diperkatakan termasuk di media sosial sebelum ini.

Terdahulu Onn Hafiz memanggil media bagi mengadakan sidang khas di kediaman rasminya memandangkan DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ini bermakna PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun 2027 sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.

Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Muda memperoleh satu kerusi.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url