Jaslinda ditemui selamat
Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang kini ditemui selamat selepas hilang di kawasan Gunung Batu Putih di Tapah, Perak sempat berkongsi pengalaman getir dilaluinya sepanjang berada di kawasan hutan berkenaan.
Menerusi satu klip video yang tular di media sosial, Jaslinda dilihat sedang memegang bekas makanan berisi mi segera sambil menceritakan pengalamannya kepada komuniti Orang Asli yang ditemuinya selepas diselamatkan.
Dalam video berkenaan, pendaki itu memaklumkan dia meneruskan perjalanan seorang diri selepas rakannya memintanya bergerak terlebih dahulu bagi mendapatkan bantuan.
"Jadi akak gerak dulu sampai atas. Bila sampai di atas, akak tunggu kejap. Tapi nak tunggu (pun takut terlalu) lama.
"(Dalam perjalanan) akak jatuh banyak kali," katanya menerusi video tersebut.
Jaslinda dilaporkan ditemui selepas 14 hari hilang ketika mendaki di Gunung Batu Putih di Tapah, Perak dan kini berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon.
Jaslinda dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.

