Top Ad 728x90

Guru Pemangkin Lahir Generasi Berintegriti

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata fungsi asas pendidikan negara untuk melahirkan insan yang bermoral dan beretika tidak boleh diabaikan bagi memastikan negara tidak terjerat dalam krisis moral dan etika yang akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Katanya, dalam mengharungi arus globalisasi dan mengejar matlamat menjadi sebuah negara maju, matlamat pendidikan seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu perlu terus dipegang teguh.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata golongan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk sahsiah pelajar yang menjadi prasyarat utama kepada kejayaan melahirkan generasi berintegriti.

"Saya percaya, sekiranya kita sentiasa berpegang teguh kepada matlamat murni pendidikan ini, maka kita akan dapat mengelak daripada terjerat dalam krisis moral dan etika yang akan menjejaskan kesejahteraan masyarakat kita pada masa hadapan," katanya.

Perkara itu menjadi cabaran kepada Malaysia dalam mencapai hasrat negara untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri, katanya menutup pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru Piala Menteri Pelajaran Malaysia 2012, di sini, Selasa.

Merujuk pengalaman beberapa negara di Eropah, Muhyiddin berkata telah muncul pemikiran baru di kalangan pemikir ekonomi Barat yang melihat penekanan keterlaluan terhadap nilai material dan persaingan ekonomi menyebabkan nilai-nilai moral dan etika yang merupakan paksi utama kewujudan sebuah masyarakat yang sejahtera, terabai.

"Ada yang mengatakan Kejatuhan Lehman Brothers dan Merill Lynch di Amerika Syarikat bukanlah disebabkan kegagalan Harvard, Yale dan Stanford melahirkan pakar-pakar ekonomi dan kewangan untuk bekerja di syarikat-syarikat gergasi dunia.

"Sebaliknya kejatuhan firma-firma ini sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan pengamal ekonomi untuk mewujudkan budaya pengurusan yang telus, bertanggungjawab dan beretika," katanya.

Justeru katanya, pada guru dipertaruhkan segala harapan untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran, dan pada masa sama mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.

"Dalam erti kata lain, tugas seorang guru tidak hanya terhenti setakat mengasah kecerdasan minda murid, tetapi juga mendidik jiwa dan sanubari mereka agar menjadi insan mulia yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni," katanya.

Beliau berkata dalam menjayakan hasrat itu, kepimpinan organisasi pendidikan harus mempunyai kefahaman yang jelas mengenai segala aspek berkaitan integriti, kelakuan dan tata tertib supaya pembudayaan integriti dapat disuburkan dalam organisasi masing-masing.

Muhyiddin turut berpandangan bahawa penilaian tahap integriti warga pendidik perlu dilaksanakan dari masa ke semasa untuk membantu Kementerian Pelajaran mengenal pasti aspek-aspek yang boleh ditambah baik.

"Usaha itu perlu dilaksanakan untuk menyebar luas maklumat berkaitan amalan dan budaya integriti di kalangan warga pendidik supaya tahap kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan integriti dalam perkhidmatan pendidikan dapat ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata dalam memastikan tahap integriti warga pendidik sentiasa tinggi, strategi dan pelan tindakan secara berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif.

Pada majlis itu Muhyiddin menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan Mohd Rafee Mohamad dari Institut Pendidikan Guru Kampus Teknik berupa wang tunai RM3,000, sijil, piala iringan dan piala pusingan.

Tempat kedua disandang Mohd Syafiq A.Ghani dari Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis dan tempat ketiga Mohd Fikri Mat Arit dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90