Hans Isaac, Francisca Luhong rancang kahwin tahun depan
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, 55, merancang mendirikan rumah tangga dengan model dan ratu cantik, Francisca Luhong James, 31, pada pertengahan tahun depan.
Hans berkata, beberapa persiapan perlu diselesaikan sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan, termasuk mengikuti kursus perkahwinan selama enam minggu serta mengadakan majlis pertunangan mengikut adat keluarga Francisca di Sarawak, Januari ini.
"Buat masa ini, majlis pertunangan bagi pihak saya di Paris, Perancis, kira-kira tiga minggu lalu sudah selesai.
"Selepas ini, kami perlu meluangkan masa mengikuti kursus perkahwinan selama enam minggu.
"Pada Januari ini, kami akan mengadakan majlis pertunangan mengikut adat Kayan dan Iban daripada keluarga Francisca di Sarawak.
"Semua proses ini kami lakukan satu persatu mengikut perancangan keluarga. Jadi, majlis perkahwinan saya dan Francisca dijangka berlangsung pada pertengahan 2027.
"Bagaimanapun, saya gembira dipertemukan jodoh dengan Francisca selepas enam tahun kami berkenalan," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai detik hubungan mereka semakin serius sehingga membuat keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan, Hans berkata, semuanya bermula, awal tahun ini.
"Selepas memikirkan hubungan kami yang sudah lama terjalin, selain selesa bersama dan saling jatuh cinta, saya terbuka hati untuk melamarnya dan Francisca menerima lamaran itu.
"Hanya 26 saat saya menunggu dia mengatakan 'iya' selepas melamarnya di hadapan Menara Eiffel, Paris, kira-kira tiga minggu lalu.
"Francisca juga tidak menyangka saya akan melamarnya di sana. Dia ada cakap dia rasa rasa seperti bermimpi. Semuanya lancar ketika saya melamarnya," katanya.
Hans berkata, mereka juga sudah mencapai kata sepakat untuk membuat pengumuman mengenai pertunangan itu hari ini.
Hans berkata, berita gembira itu juga bererti dia tidak perlu lagi berhadapan dengan pertanyaan mengenai bila akan berkahwin, selain kini boleh menghadiri majlis perkahwinan bersama pasangan.
"Selepas ini, saya tidak perlu lagi hadir ke majlis perkahwinan seorang diri atau berstatus solo," katanya.
Hans yang juga pelakon popular, berkongsi berita gembira mengenai pertunangannya dengan Francisca menerusi beberapa foto yang dimuat naik di Instagram (IG), disertai kapsyen ringkas, hari ini.
Francisca yang dilahirkan di Kuching, adalah model dan ratu cantik yang pernah dinobatkan sebagai Miss Universe/Malaysia 2020 serta mewakili negara ke pertandingan Miss Universe pada tahun sama.
Meninjau ruangan komen selepas pengumuman dibuat Hans dan Francisca di IG, pasangan itu menerima ucapan tahniah serta doa daripada rakan selebriti, kenalan dan pengikut media sosial.
- Berita Harian

