Kampus baru UiTM di Raub, Pahang

Dua projek Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus cawangan di Raub serta Institut Latihan UiTM di Nilai dijangka siap menjelang 2015.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor, berkata ia kesinambungan kepada agenda negara untuk menambah enrolmen pelajar UiTM dari 100,000 kepada 200,000 dalam tempoh tiga tahun.

Projek RMK-10
Beliau berkata, projek itu adalah projek ketiga dan keempat daripada enam projek fasa dua pembangunan kampus UiTM secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (IPF) bagi Rancangan Malaysia Ke-10.

Kampus UiTM Raub membabitkan kos pembinaan RM230 juta dan boleh menempatkan 3,000 pelajar. Ia akan dibina di tapak seluas 31.6 hektar di Mukim Gali, Raub-Bentong, katanya.

Rahim berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian konsesi bersama Utusan Intelek Sdn Bhd bagi pembinaan kampus UiTM Raub dan Menang Corporation (M) Berhad melalui anak syarikatnya, Protokol Elegan Sdn Bhd bagi Institut Latihan UiTM di Putrajaya.

Majlis disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Ab Rahim berkata, kampus berkenaan akan menempatkan pelajar Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Matematik dan Sains Komputer serta Fakulti Pengurusan Perniagaan.

- BERITA HARIAN Kampus baru UiTM di Raub, Pahang

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.