Top Ad 728x90

Persaudaraan atasi batas politik

Oleh MOHD SHAUKI ABD. MAJID

KINI kita dihadapkan dengan isu yang dikaitkan dengan 'perpecahan' orang Melayu. Di mana-mana sahaja, isu ini dibahas, diperdebat, dan ditafsir dari pelbagai sudut.

Dalam situasi sekarang, kedua-dua parti teras orang Melayu-Islam iaitu UMNO dan Pas juga sedang menghadapi masalah yang sama akibat tafsiran-tafsiran berbeza tentang agama Islam itu sendiri.

Justeru, cadangan para cendekiawan Melayu-Islam agar UMNO dan Pas bersatu harus dilihat secara positif oleh kedua-dua parti yang mewakili umat Islam di Malaysia.

Melihatkan percanggahan demi percanggahan pendapat dan tafsiran yang kadangkala terasa 'mengelirukan', maka sudah sampai masanya untuk mereka kembali kepada kitab Allah dan sunah Rasul-Nya seperti mana firman Allah yang bermaksud: Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itu adalah yang paling baik dan paling elok pula kesudahannya. (An-Nisaa': ayat 59)

Islam mengajar semua manusia bahawa setiap daripada kita yang menjadi penghuni alam adalah sama di hadapan Allah SWT, bahkan agama suci ini juga mengecam sikap atau mentaliti yang melebihkan satu kelompok manusia di atas kelompok yang lain.

Sifat berasa bahawa merekalah yang lebih Islam atau lebih tinggi daripada orang lain dikutuk oleh Islam sebagai satu sifat takbur. Dan orang yang sombong dan takbur tidak berbau syurga buatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Akan dihimpun orang-orang yang sewenang-wenang dan takbur pada hari kiamat sebagai butir-butir debu. Mereka akan diinjak-injak oleh manusia, kerana sangat hinanya di sisi Allah Taala.

Menyatukan ummah dan mengelak perpecahan merupakan tugas-tugas kemasyarakatan (muamalat) yang mempunyai kedudukan penting, sehingga dihargai lebih tinggi daripada ibadah-ibadah ritual.

Nabi SAW menegaskan menerusi sabda baginda yang bermaksud: Perumpamaan kaum mukmin dalam hal jalinan kasih sayang, kecintaan dan kesetiakawanan, sama seperti satu tubuh, yang apabila salah satu anggotanya mengeluh kerana sakit, maka seluruh anggota lainnya menunjukkan simpatinya dengan berjaga semalaman dan menanggung panas kerana demam.

MenghulurkanFaktor penunjang lahirnya persaudaraan dalam erti sama ada secara luas mahupun sempit adalah persamaan. Semakin banyak persamaan, maka akan semakin kukuh pula persaudaraan. Persamaan rasa dan cita-cita merupakan faktor dominan yang mendahului lahirnya persaudaraan hakiki. Pada akhirnya menjadikan seseorang itu turut merasakan penderitaan saudara sesama agama dan menghulurkan tangan sebelum diminta.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Mengutamakan orang lain atas diri mereka, walaupun diri mereka sendiri kekurangan. (Al-Hasyr: ayat 9)

Keberadaan atau kehadiran manusia di dunia ini sebagai makhluk sosial, perasaan tenang, tenteram dan bahagia pada saat berada di antara sesamanya, dan dorongan keperluan ekonomi merupakan faktor-faktor penunjang yang akan melahirkan rasa persaudaraan.

Islam menekankan hal-hal tersebut, dan menganjurkan manusia mencari titik temu persaudaraan bukan sahaja terhadap sesama Islam, dengan kelompok bukan Islam pun sedemikian.

Persaudaraan Islam merupakan idea sosial yang teragung. Sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh merosakkan nilai murni itu dianggap merosakkan agama. Umat Islam umpama satu jasad atau satu bangunan saling memelihara dan mengukuhkan antara satu sama lain.

Oleh hal yang demikian, perbuatan memecah belah dan permusuhan adalah haram dan patut dihindarkan sekiranya kita benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Ali Imran: ayat 103)

Ayat di atas jelas memerintah agar umat Islam bersatu padu dan mempertahankan perpaduan. Jangan bercerai-berai dan saling bermusuhan yang membawa kepada 'kelekaan dan kelalaian' kita daripada ajaran Allah dan Rasul-Nya.

Perpecahan harus dibendung. Jika perbezaan pendapat tidak melibatkan akidah, maka seharusnya 'permusuhan yang ketat' sehingga orang Islam berpecah belah tidak harus berlaku. Jelas sekali golongan yang mengaku lebih 'Islamik' daripada yang lain sebenarnya tidak menghiraukan ajaran Islam yang amat mendasar, iaitu orang mukmin adalah bersaudara.

Menyatukan umat bererti mengajak manusia kepada Islam, bukan kepada kelompok tertentu dan membawa mereka untuk beribadah semata-mata kepada Allah SWT, bukan ibadah firqah atau dengan mengikuti cara tokoh tertentu tetapi dengan cara atau manhaj yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Hanya 'tali Allah' sahaja yang dapat memberi pegangan yang kukuh kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara. Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan yang menjurus semata-mata kerana Allah, iaitu persaudaraan yang membuang segala macam dendam kesumat, sikap mementingkan diri serta kelompok sendiri sahaja.

PermusuhanApakah nikmat lain yang paling besar daripada persaudaraan sesudah permusuhan? Itulah nikmat yang paling besar dan amat mahal harganya daripada emas dan perak. Justeru, hikmat persaudaraan adalah nikmat dalam dapat dirasakan oleh jiwa yang tulus dan suci, semata-mata mengharap keredaan Allah SWT. Dengan persaudaraan, yang berat dapat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Usahlah bersikap angkuh, takbur, melakukan kerosakan di dunia seperti berlaku zalim, memutuskan silaturahim, memecah belah rakyat, menghina, menabur fitnah, menyesatkan rakyat, merosakkan keamanan, menipu rakyat dengan tafsiran yang salah terhadap agama.

Sesungguhnya Allah amat murka dan menyediakan azab yang pedih kepada golongan penderhaka ini di akhirat kelak.

Justeru, Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya menggunakan fikiran yang waras, meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan puak, diri dan hawa nafsu sendiri.

Usahlah diingkari perintah Allah sekiranya kita benar-benar sayangkan agama, bangsa dan negara serta tidak ingin melihat kehancuran ummah dan negara di tangan kita sendiri. Dan usahkan kita menyediakan medan persengketaan yang lebih luas yang akan merugikan diri, bangsa dan umat kita sendiri, juga generasi akan datang.

Apa yang kita lakukan pada hari ini akan menjadi sejarah pada masa depan. Apakah kita ingin menjadi sejarah yang bakal dicemuh oleh anak cucu kita nanti?

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90