Top Ad 728x90

Lelaki cepat bosan lepas bersara

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Tentu ramai yang pernah mendengar ungkapan “men from Mars, women from Venus (lelaki dari Marikh, wanita dari Zuhal). Ungkapan ini secara amnya digunakan untuk memperlihatkan perbezaan ketara antara lelaki dan wanita, baik daripada aspek perangai, penampilan dan mahupun segala-galanya.

Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, masing-masing mempunyai pendapat, pendirian serta cita rasa yang membezakan antara dua jantina ini.

Roda hidup berputar, setiap manusia di muka bumi ini tidak kira lelaki atau perempuan akan menikmati alam bermula dari saat dilahirkan, melalui dunia kanak-kanak, remaja dan seterusnya menjadi dewasa.

Dan bagi yang sudah di peringkat umur dewasa pernah membayangkan bagaimana kehidupan mereka selepas bersara nanti.

Tinjauan Skop Persaraan Axa 2008, yang berperanan khusus dalam mengukur dan menentukan perbezaan dan persamaan pendapat antara kedua-dua gender terhadap kehidupan selepas bersara, mendapati satu kesimpulan yang agak mengejutkan.

Salah satu hasil tinjauan yang telah dijalankan oleh Axa Affin Life Insurance Berhad baru-baru ini, menunjukkan bahawa lelaki Malaysia mendapati kehidupan selepas bersara membosankan mereka.

Walaupun setiap individu mempunyai pendapat tersendiri tentang pengertian persaraan, tinjauan tersebut telah berjaya mendapatkan maklumat tentang gaya hidup berbeza antara lelaki dan wanita selepas bersara.

Ketua Pegawai Eksekutif Axa Affin Life Insurance Berhad, Vincent Kwo berpendapat, tinjauan seperti itu penting bagi memahami kehendak pelanggan terutama yang terlibat dalam perniagaan yang berkaitan insurans.

Menurut tinjauan ini lagi, para responden yang terdiri daripada kaum Adam rata-rata memberitahu bahawa kehidupan mereka akan menjadi kurang aktif selepas menjangkau umur persaraan kelak.

“Berbanding wanita, kaum lelaki didapati lebih cenderung untuk berasa bosan dalam tempoh persaraan mereka,” ujarnya mengulas hasil tinjauan yang telah dilakukan.

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa kaum wanita yang bersara, mempunyai kebebasan dari segi kewangan, tetapi mereka berkemungkinan besar akan menghadapi masalah dalam perkahwinan serta hubungan peribadi.

Walaupun wanita mempunyai pendapatan yang kurang selepas bersara, mereka akan menjalani kehidupan yang lebih baik berbanding lelaki.

Pergaulan sosial

“Wanita memberi respons yang positif dalam memelihara pergaulan sosial dan aktiviti selepas bersara, sementara lelaki pula mendakwa lebih sukar untuk melakukan seperti wanita,” tambahnya.

Kenyataan tersebut didorong oleh pendapat bahawa kebanyakan lelaki kurang bersedia untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan yang lebih tenang apabila tugas dan kerjaya tidak lagi menjadi sebahagian besar daripada kehidupan mereka.

Dari segi kesihatan pula, sebilangan besar responden lelaki yang sedang bekerja menjangkakan menghadapi masalah kesihatan selepas bersara berbanding kaum wanita (masing-masing dengan peratusan 50 dan 17 peratus).

Kumpulan wanita ini juga beranggapan mereka telah bersedia untuk kehidupan yang lebih baik selepas bersara berbanding lelaki.

Bagaimanapun, responden lelaki menyatakan bahawa mereka akan berada di kedudukan yang baik berbanding wanita berhubung persaraan.

Mereka berpendapat bahawa mereka akan mengecapi kedudukan yang lebih baik berkaitan aktiviti selepas bersara (59 peratus bagi responden yang masih bekerja dan 55 peratus bagi pesara).

Selain daripada menjalani kehidupan sosial yang mantap (55 peratus bagi yang responden bekerja dan 51 peratus bagi pesara), mereka juga mempunyai kebebasan dari segi kewangan ( 45 peratus bagi lelaki yang masih bekerja dan 42 peratus bagi yang sudah bersara).

Para responden wanita pula merasakan mereka akan lebih atau telah bersedia dari segi kewangan berbanding lelaki. Wanita juga merasakan lebih bersedia dari aspek psikologi untuk bersara (masing-masing 56 peratus bagi yang sedang bekerja dan 32 peratus bagi yang telah bersara), justeru wanita tidak akan mudah merasa bosan selepas persaraan mereka.

Akan tetapi wanita turut melahirkan kebimbangan berkaitan hal perkahwinan atau perhubungan dan bersetuju bahawa kaum lelaki akan lebih aktif secara sosial berbanding mereka.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat dan perasaan antara kedua-dua gender, masih ada juga persamaan yang ditemui dalam hasil tinjauan tersebut.

Salah satunya, kedua-dua gender bersetuju bahawa kaum lelaki akan lebih aktif dari segi sosial selepas bersara.

Persaraan melambangkan perbezaan pendapat dan peluang kepada masyarakat dalam situasi yang berlainan.

Dengan mengetahui bagaimana kaum lelaki dan wanita berpendapat tentang subjek ini pastinya dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang masa depan kedua-dua jantina terutama selepas bersara kelak.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90