Muzakarah wadah persefahaman umat
Perlu ditegaskan bahawa maksud berkenal-kenalan tidak hanya menjurus kepada maksud kenal mengenal saja, malah merangkumi ruang lingkup yang luas iaitu mengenali secara akrab dan mendalam sebagai sesama manusia bermasyarakat.
Oleh itu, perbezaan pendapat adalah isu yang sebati dan sinonim dalam kehidupan manusia serta perkara yang wajar dalam konteks pergaulan sesama manusia.
Sehubungan itu, setiap daripada kita sebagai manusia biasa wajib memahami bahawa perbezaan pendapat atau buah fikiran bukanlah dicipta untuk mencetuskan permusuhan atau sentimen pertelagahan sesama manusia.
Sebaliknya, ia hanyalah sebahagian daripada wadah untuk mencipta satu persefahaman yang mantap dan semangat toleransi jitu yang akhirnya akan menjalin satu ikatan persaudaraan serta kesatuan ummah mapan sama ada sesama Islam mahupun bukan Islam.
Islam bukan saja memerintahkan umatnya supaya menghargai perbezaan suku bangsa, warna kulit dan bahasa, malah lebih dari itu, perbezaan pendapat dan fikiran memandangkan kemampuan berfikir antara seseorang dengan yang lain adalah tidak sama.
Justeru, perbezaan itu secara tidak langsung turut mempengaruhi kefahaman dan pemahaman seseorang terhadap sesuatu isu berbangkit. Maka, tidak ada sebab sama sekali untuk kita melarikan diri atau mengelakkan berlakunya perbezaan pendapat atau pandangan dalam satu-satu isu.
Malah, perbezaan itu sebenarnya menyerlahkan aneka kebaikan yang tersurat dan tersirat kerana ia berupaya bertindak sebagai perantara atau jalan pintas untuk lebih inovatif, efektif ke arah kehidupan harmoni serta sejahtera.
Pada masa sama, Islam melarang umatnya berbantah-bantahan dan bertelagah dalam isu berbangkit kerana dikhuatiri menjadi bibit bisa meretakkan kesatuan ummah yang akhirnya membawa padah lebih buruk iaitu kelemahan dan kehancuran bangsa itu sendiri.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar." (Surah al-Anfal, ayat 46)
Rasulullah SAW tidak ketinggalan memberi peringatan kepada umatnya dengan sabda yang bermaksud: "Janganlah kamu berselisih faham, nanti hati kamu pula akan berselisih faham." (Hadis riwayat Bukhari)
Jelas di sini bahawa Islam mengajar umatnya agar membiasakan diri dan juga menghargai perbezaan pendapat dan pandangan hidup sesama manusia. Zaman Rasulullah SAW menyaksikan satu detik gemilang dengan terbentuknya jalinan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar.
Dalam bidang ilmu fikah Islam pula menampilkan betapa tingginya ketrampilan dan kehebatan ulama seperti Imam Shafei yang pernah berkata: "Apa yang diucapkan oleh ulama selain daripadaku juga adalah pendapat yang benar."
Begitu juga tingginya sifat berhemah Imam Abu Hanifah apabila beliau tidak pernah menyatakan pendapatnya adalah yang paling benar dan tepat. Ini teladan cukup ideal dalam isu perbezaan pendapat kerana mereka berdua adalah tokoh ulama terulung dalam pelbagai disiplin ilmu beranggapan bahawa kebenaran itu pada hakikatnya bersifat subjektif dan relatif.
Maknanya, hanya pendapat dan pandangan yang lebih menghampiri kepada kebenaran sewajarnya diangkat sebagai rujukan dan pegangan disepakati. Itulah kaedah ulama silam sehingga perbezaan pendapat di kalangan mereka tidak membawa kepada perbalahan serius.
Walau bagaimanapun, situasi seumpama ini tidak berlaku dalam masyarakat hari ini di mana umat Islam gemar memperbesarkan isu remeh temeh yang akhirnya menjadi satu kontroversi atau polemik membawa kepada kekeliruan umat Islam.
Kadang-kadang, ada sebahagian Muslim yang begitu cepat melatah dan melenting apabila ada pihak lain berbeza pendapat sedangkan Islam memperkenalkan konsep musyawarah bagi merungkaikan segala kekusutan.
Kita dianjurkan supaya bersifat toleransi dan berhikmah dalam menangani masalah perbezaan pendapat. Di sini barulah terserlah pentingnya musyawarah, muzakarah dan perbincangan antara dua pihak berlainan fikrah bagi mencari titik penyelesaian dan keputusan disepakati.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka, dan mereka pula mendermakan sebahagian apa yang Kami beri kepadanya." (Surah al-Syura, ayat 38)
Sewaktu berlakunya perang Uhud, umat Islam bermusyawarah untuk menentukan strategi peperangan sama ada melancarkan serangan atau bertahan saja dalam kota Madinah. Rasulullah SAW mengusulkan bertahan lalu sahabat bertanya apakah itu wahyu Allah SWT atau usul peribadi.
Pada proses musyawarah itu akhirnya Rasulullah SAW memutuskan untuk menerima pendapat orang lain yang disokong oleh majoriti besar umat Islam biarpun bertentangan dengan pendapat Baginda sendiri.
Prinsip musyawarah perlu dijulang menjadi sebahagian daripada agenda umat Islam masa kini dalam merangka dan merencana hala tuju ke arah kesejahteraan dan keredaan Allah SWT. Jika berlaku perselisihan, Islam menganjurkan supaya merujuk kepada al-Quran sunnah. Jangan terbawa-bawa menurut runtunan hawa nafsu dan sifat ego yang hanya membawa padah kemudian nanti.