Republik Azerbaijan
Oleh kerana sejarah perjuangan rakyatnya yang panjang, melawat Azerbaijan seperti melawat muzium. Negara itu penuh dengan tapak arkeologi sejak sebelum zaman Empayar Seljuk hingga kesan peninggalan pemerintahan Russia.
Azerbaijan bersempadan dengan beberapa negara, iaitu Russia di utara, Georgia di barat laut, Iran di selatan, Armenia di barat manakala Turki di barat daya.
Justeru, penduduknya sangat unik dengan pengaruh dan campuran pelbagai kebudayaan. Paling ketara makanannya. Kebanyakan menu makanan di Azerbaijan dipenuhi daging kambing. Misalnya, kebab kambing atau dikenali sebagai kebab Lyulya. Selain itu, turut popular ialah Sabza-Govurma Pilau, iaitu nasi yang dimasak bersama daging kambing.
Baku adalah ibu negara republik itu, juga sebuah bandar pelabuhan terbesar. Ia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Baku Baru dan Baku Lama (Bandar Dalam).
Jika anda berjalan-jalan di Baku, pastinya kembara anda berbaloi kerana ia penuh dengan tinggalan sejarah. Di ibu kota itu terletaknya ‘The Walled City of Baku’ yang tersenarai dalam warisan budaya oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Di Baku Lama pula terletak Istana Shirvanshahs dan Menara Anak Dara yang menjadi lokasi pertama di Azerbaijan yang diiktiraf sebagai warisan tinggalan dunia oleh Unesco.
Selain itu, juga wujud berdozen masjid kecil, Taman Kirov iaitu taman peringatan untuk pejuang Azerbaijan yang gugur dalam Perang Nagorno-Karabakh dan mereka yang meninggal dunia dalam peristiwa “Januari Hitam” pada 1990.
Pada 2003, Baku Lama diletakkan dalam senarai warisan paling berbahaya di dunia berikutan gempa bumi pada 2000 dan kurangnya kerja pemuliharaan dilakukan oleh kerajaan.
Dalam peta pelancongan dunia, Azerbaijan dipromosikan sebagai ‘negara api’ kerana pada zaman dahulu penduduknya memuja api. Azer bermaksud api. Azerbaijan pula adalah nama lama daripada puak Turki yang tinggal di wilayah itu.
Azerbaijan juga kerap dirujuk sebagai tapak awal kehidupan manusia. Malah, Laluan Sutera yang merentasinya menjadikan negara itu membangun seiring peradaban. Bagaimanapun, kerana ia berada di dalam Kesatuan Soviet, pembangunannya masih di belakang.
Namun, sesuatu yang tidak berubah sejak dulu, negara itu terkenal dengan sumber alamnya, iaitu minyak, kapas, minyak zaitun dan kaviar hitam, selain sutera dan fabrik.
Justeru, potensi pelancongan di negara itu cukup besar. Ini seiring dengan dasar buka pintu yang diamalkan oleh pentadbiran Azerbaijan hari ini merangkumi sistem sosial, politik dan reformasi ekonominya.
Selain tinggalan peradaban dan seni bina, Azerbaijan juga popular sebagai destinasi pelancongan-pemburuan. Biasanya, pelancong-pemburuan ini memilih Dagestan untuk memburu sepanjang musim. Di sini, anda diberi lesen besar dan boleh meneruskan memburu di kawasan hutan simpan Gizilagach dan pada musim sejuk.
Selain sinonim dengan negara pengeluar minyak, Azerbaijan terutama Baku kerap menjadi lokasi pelancongan semasa zaman Kesatuan Soviet. Cuacanya yang panas, lembap dan berhadapan dengan Laut Caspian memberikan negara itu kelebihan.
Mungkin kerana kos yang tinggi untuk sampai ke Azerbaijan dan kualiti prasarana pelancongan yang masih boleh diperbaiki, negara itu belum lagi popular dalam peta pelancongan dunia.
INFO: Azerbaijan
- Negara bekas wilayah Russia ini membentuk kerajaan sendiri pada 1991
- Terkenal dengan pelbagai tinggalan seni bina merangkumi kubu, masjid, menara dan galeri.
- Muzium, galeri dan masjid boleh ditemui hampir di semua bandar di setiap daerah di negara itu.
- Terdapat lebih 115 buah muzium di negara ini.
- Monumen paling unik adalah makam Momine-Khatun dan Menara Jusif.
- Antara wilayah yang membentuk Laluan Sutera
- Terkenal dengan minyak dan kesan tinggalan peperangan