Siapa yang dikenakan fidyah?
1. Tidak berupaya berpuasa iaitu seseorang yang wajib berpuasa, tetapi tidak sanggup lagi mengerjakannya disebabkan tua, lemah dan sekiranya dia berpuasa tidak akan dapat menanggung kepayahannya.
2. Orang yang sakit yang tidak ada harapan sembuh dan tidak berupaya melakukan puasa.
3. Perempuan hamil atau yang sedang menyusukan anak, iaitu jika sekiranya mereka ini berpuasa, maka takut akan mendatangkan mudarat kepada anak yang dikandung atau boleh mengurangkan air susu yang akan memberi kesan kurang baik kepada anak yang menyusu.
4. Sesiapa tidak qadha Ramadhan pada tahun berkenaan sehingga masuk Ramadhan berikutnya tanpa 'uzur syar'i. Khusus bagi sebab yang ke empat ini, maka bagi sesiapa yang telah terlanjur melambat-lambatkan kadha puasa Ramadhan, padahal ia boleh qadha puasanya itu dengan tiada 'uzur sehingga masuk Ramadhan lain, maka tetaplah juga wajib ke atasnya mengkadhanya sebanyak hari-hari Ramadhan yang ditangguhnya itu disamping itu wajib pula mengeluarkan fidyah mengikut kadar hari-hari berkenaan, iaitu sebanyak satu mud atau 15 tahil atau 566.99 gram beras untuk satu hari. Ertinya satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan maka fidyahnya satu mud, jika dua hari, fidyahnya dua mud, jika tiga hari, fidyahnya tiga mud begitulah seterusnya. Walau bagaimanapun, kadar jumlah satu, dua atau tiga mud itu boleh berganda. Umpamanya sehari puasa Ramadhan yang ditinggalkan fidyahnya ialah satu mud, tetapi jika masuk tahun kedua belum diqadha, fidyahnya berganda menjadi dua mud. Masuk tahun ketiga menjadi tiga mud sehinggalah dikadha dan begitulah seterusnya. Perlu juga di ingat bahawa disamping kewajipan membayar fidyah, dan qadha puasa Ramadhan, adalah wajib bertaubat tidak akan meninggalkan puasa Ramadhan lagi atau melambatkan mengqadhanya jika tidak ada 'uzur syar'i, kerana meninggalkan puasa Ramadhan tanpa 'uzur adalah haram, dan jika ditinggalkan juga tanpa 'uzur, wajiblah diqadha dengan segera, dan jika dilambat-lambat mengkadhanya tanpa 'uzur hukumnya adalah haram.
Orang Yang Sudah Meninggal Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana 'uzur syar'i seperti sakit atau dalam musafir sama ada satu hari atau lebih, kemudian dia mati sebelum berkesempatan mengqadhanya, maka tidak wajib dikeluarkan fidyah puasa yang ditinggalkannya itu. Dia juga tidak berdosa kerana dia dikira tidak dapat melakukan yang wajib atasnya disebabkan suatu 'uzur atau halangan yang dibenarkan syara'. Bagaimana jika dia mati setelah berkeupayaan dan berpeluang mengqadhanya, namun dia tidak mengkadhanya, maka pihak walinya tidak perlu mengganti puasanya dan tidak sah hukumnya, kerana puasa itu dikira ibadah peribadi yang tidak dapat diwakilkan semasa hidup.
Berkata Imam Nawawi: Ertinya: 'Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan (kerana 'uzur syara'), kemudian dia mati sebelum berkesempatan mengkadhanya, maka dia tidak wajib membayar fidyahnya dan tidak berdosa. Dan jikalau dia mati selepas berupaya mengkadhanya, walinya tidak perlu mengganti puasanya mengikut Kaul Jadid, yang perlu ialah membayar fidyah puasanya bagi setiap hari satu mud makanan yang diambil dari harta peninggalannya'. (Minhaj at-Thalibin: 77).