Top Ad 728x90

Kerukunan perpaduan kaum di Sarawak ada kelainan

JIKA anda pernah ke Sarawak terutama di daerah Mukah, jangan terkejut apabila melihat orang memakai songkok ke gereja. Anda juga jangan terkejut apabila mendapati dalam sebuah rumah, sekeluarga ada yang beragama Islam, Kristian dan pagan (tiada agama).

Malah, ada gereja yang lokasinya sebelah menyebelah dengan masjid. Sekuat mana suara azan, masyarakat Kristian tidak pernah mengadu. Begitu juga kesesakan di hadapan gereja pada pagi Ahad, tiada orang Islam yang mengadu. Masyarakat Melanau di sana saling memahami antara satu sama lain.

Oleh itu, apabila seorang Menteri Kabinet Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan menyatakan bahawa negeri itu tidak perlu kepada sebarang undang-undang berhubung hubungan kaum, ramai terutama penduduk di Semenanjung berpendapat bahawa menteri itu cuma memberi 'kenyataan politik' atau senda gurau.

Sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Negeri Sarawak itu dibuat secara jujur, benar dan hakikat ini diakui ramai anak kelahiran negeri itu sendiri atau mereka yang pernah bekerja atau tinggal di Bumi Kenyalang.

"Di Sarawak, jika tak ada akta ini pun tak apa kerana perpaduan dan hubungan baik pelbagai kaum di negeri ini sudah wujud secara semula jadi. Selain orang Melayu, Cina dan India, Sarawak mempunyai 33 kumpulan etnik dan mereka sudah tinggal bersama dalam suasana aman sejak sebelum merdeka," kata Awang Tengah kepada pemberita di Kuching, Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, minggu lalu, bahawa kerajaan akan mewujudkan Akta Hubungan Kaum, bertujuan memantapkan perpaduan dan hubungan antara kaum untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih harmoni.

Bagi tujuan itu, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan memulakan perbincangan bagi penyediaan draf akta berkenaan.

Seorang rakan wartawan yang pergi bercuti di Kuching minggu lalu – kali pertama menjejak kakinya di Sarawak – melahirkan rasa terkejut apabila melihat penduduk pelbagai kaum hidup berharmoni, mesra dan penuh persefahaman.

"Saya berasa satu kelainan berbanding di Semenanjung. Penduduk di Sarawak tidak membezakan antara Melayu, Melanau, Cina, Iban, Bidayuh dan sebagainya. Pada saya, Sarawak adalah contoh paling baik untuk kehidupan harmoni dalam masyarakat majmuk," katanya.

Beliau bersama isteri dan dua anak yang turut terpegun dengan pembangunan pesat, selain kebersihan bandar raya Kuching, mengesyorkan supaya ahli politik dari Semenanjung datang ke Sarawak untuk melihat sendiri uniknya perpaduan kaum di Bumi Kenyalang.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir, berkata corak perpaduan di Sarawak harus menjadi teladan kepada semua kaum, walaupun dihuni lebih 30 suku kaum, perpaduan amat padu seolah-olah tiada bezanya antara kaum dan antara agama di Sarawak.

"Saya boleh memberi contoh diri saya. Abang saya beragama Kristian, saya Islam dan adik perempuan saya juga Islam. Bapa kami beragama Kristian, tetapi kami duduk serumah apabila balik ke kampung di Mukah. Tiada masalah bagi yang beragama Islam untuk menunaikan solat.

"Kami saling memahami dan tiada makanan haram dihidangkan di rumah. Dulu, ada orang Kristian memakai songkok ke gereja. Tiada siapa mengadu mengenai suara azan. Di Pekan Mukah, orang Islam dan Kristian boleh duduk makan bersama," katanya.

Dr Jeniri berkata, pokok kepada semua itu ialah tiada prasangka timbul, pergaulan kehidupan penuh aman damai, saling bekerjasama, tidak pernah timbul krisis antara kaum atau agama... satu contoh yang harus dipelajari penduduk di Semenanjung, termasuk di kalangan ahli politik.

Malah, kata beliau, kaum Cina yang hidup dalam masyarakat orang Iban, boleh bertutur dengan baik bahasa Iban dan begitu juga sebaliknya.

"Ketika menuntut di universiti, saya sebilik dengan pelajar Cina selama setahun dan setahun kemudian, saya sebilik pula dengan pelajar India. Kami tiada masalah kerana saling memahami," katanya.

Bekas Menteri Pelancongan, kini menggunakan nama Datuk Dr Muhammad Leo Michael Toyad selepas memeluk Islam, memang asalnya beragama Kristian di Mukah, tetapi ahli keluarga lain masih beragama Kristian dan tiada masalah untuk mereka hidup bersama.

Bayangkan, jika rakyat pelbagai kaum di negara ini boleh hidup aman damai seperti rakan di Sarawak, tidak akan timbul masalah antara kaum dan agama.

Sudah 51 tahun kita merdeka, perpaduan antara kaum ini sepatutnya lebih erat, bukan menjarakkan jurang perbezaan.

Dalam satu forum baru-baru ini, ahli sejarah, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menyalahkan ahli politik kerana menyebabkan hubungan kaum di negara ini menjadi bertambah buruk.

"Banyak parti politik kita yang terus hidup dengan memperjuangkan kepentingan satu daripada kumpulan etnik. Dalam proses itu, mereka berbalah kerana apa dikehendaki oleh satu kumpulan bertentangan dengan kumpulan lain. Ini antara sebab kenapa ketegangan itu berlaku," kata Khoo dalam satu temu bual dengan New Straits Times yang diterbitkan kelmarin.

Kita belum pasti lagi apakah bentuk kandungan Akta Hubungan Kaum itu nanti. Apakah ia cuma untuk menghukum sesiapa saja yang menimbulkan isu kaum?

Memang wujud akta sama yang sudah diamalkan di kebanyakan negara Komanwel seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand serta beberapa negara di Eropah, tetapi skopnya berlainan, seperti antara lain menyatakan 'tiada siapa boleh didiskriminasi kerana kaum, warna kulit, status sosial'.

Oleh itu, draf akta berkenaan perlu diteliti dengan lebih mendalam supaya tidak menyentuh isu sensitif seperti kuota Bumiputera dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Akta Hubungan Kaum, bunyinya lebih kepada hak sama rata untuk semua kaum dan sesiapa yang mempersoalkan, boleh dikenakan tindakan? Kerajaan perlu lebih jelas apa matlamat sebenar akta itu.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90