Rabu, September 24, 2008

Panduan mengadakan rumah terbuka

MENGADAKAN rumah terbuka bagi meraikan rakan-rakan dan handai taulan sempena Hari Raya Aidilfitri bukan lagi budaya baru dalam masyarakat hari ini.

Biarpun Ramadan masih ada lebih seminggu perlu dilalui, sudah ada di antara kita yang merancang menjemput rakan-rakan ke rumah terbuka.

Begitupun menganjurkan rumah terbuka bukan tugas mudah kerana banyak membabitkan kerja remeh-temeh yang perlu diambil kira agar majlis meriah dan berjalan lancar.

Antara perkara yang menjadi kerisauan tuan rumah apabila mengadakan rumah terbuka ialah kehabisan makanan sedangkan tetamu masih bertali arus.

Ada juga pengalaman di mana makanan berlebihan hingga berlaku pembaziran apabila tetamu yang dijangka akan hadir tidak muncul.

Terdapat juga keadaan di mana tuan rumah tidak menang tangan sehingga tidak sempat untuk beramah mesra dengan tetamu, sedangkan tujuan mengadakan rumah terbuka bagi merai dan mengeratkan silaturahim.

Segala kepincangan itu dapat dielakkan jika tuan rumah mempunyai perancangan yang betul daripada cara mengundang tetamu hinggalah kepada soal pemilihan masa dan menu yang sesuai.

Pensyarah Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Noraini Sidek, di dalam bukunya bertajuk Sajian Keraian Perancangan, Penyediaan dan Resipi terbitan Utusan Publication & Distributors (UPND) menyebut, perancangan yang rapi bukan sahaja dapat memudahkan kerja-kerja meraikan tetamu, ia juga akan memeriahkan suasana di mana sebagai tuan rumah mereka tidak akan terlalu sibuk di dapur.

Seeloknya jadilah tuan rumah yang agak tenang apabila bersama tetamu dan tidak kelihatan terlalu letih di majlis sendiri.

Berikut beberapa panduan untuk mengadakan rumah terbuka.

lPilihan warna, tekstur dan cara persembahan hidangan juga penting kerana hidangan yang menarik bukan saja kelihatan enak tetapi dapat menyerikan lagi meja hidangan dan menceriakan tetamu yang hadir.

lPastikan juga bilangan tetamu tidak terlalu ramai, berpadanan dengan ruang tamu dan jika ingin meraikan di luar, jumlah mereka hendaklah bersesuaian dengan keluasan kawasan rumah.

lBagi memudahkan ke pasar pastikan membuat senarai barangan, jangan lepaskan peluang untuk membeli produk bermusim di mana ia disenaraikan sebagia jualan murah.

lGunakan kreativiti untuk mempelbagaikan menu dan kaedah penyediaan.

lSediakan stok makanan ringan seperti kacang goreng, keropok kentang dan coklat untuk kanak-kanak.

lSimpan stok minuman ringan seperti minuman berkarbonat dan jus buah-buahan. Kesemuanya boleh dihidangkan secara berasingan atau boleh dicampur untuk membuat punch dan manisan.

lSediakan bekalan air batu yang mencukupi. Aiskrim jika dicampur dengan jus buah- buahan atau dengan potongan buah-buahan boleh dijadikan manisan.

lNikmatilah hidangan dalam suasana riang ria sambil berbual-bual. Tidak perlu tergopoh-gapah mencuri masa. Jika perlu hidangkan manisan dan kopi setengah jam selepas hidangan utama.

lJadilah hos yang mempunyai kesedaran tinggi dalam penjagaan kesihatan dengan mengurangkan pengambilan lemak, gula dan garam. Rancangkan menu dengan mempelbagikan sayur-sayuran, buah-buahan dan produk daripada kacang soya.
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts