Mukjizat Nabi Musa
DALAM pelantikan Nabi Musa sebagai nabi di Lembah Suci Thuwa, baginda dikurniakan beberapa mukjizat oleh Allah SWT. Antara mukjizat tersebut adalah tongkat Nabi Musa menjadi ular. Tangan baginda pula menjadi putih bersih setelah dikepit ke dalam ketiak.
Kedua-dua mukjizat ini dapat menetapkan hati Nabi Musa sebagai bukti kerasulannya untuk berdakwah kepada Firaun dan pengikut-pengikutnya yang melampaui batas. Mukjizat tersebut juga membuktikan kerasulan Nabi Musa.
Antara mukjizat Nabi Musa yang paling ketara ialah peristiwa tongkat Nabi Musa menjadi ular lalu menelan ular-ular tukang sihir. Selain itu, Nabi Musa menggunakan tongkatnya untuk membelah lautan hingga menyelamatkan Bani Israel. Dengan tongkat itu juga Bani Israel dapat minum 12 mata air daripada seketul batu besar di tengah-tengah padang pasir.
Mukjizat-mukjizat tersebut adalah antara tanda kekuasaan Allah dan menunjukkan bahawa Nabi Musa adalah manusia terpilih.
PENGAJARAN
*Sesungguhnya Allah SWT akan memihak kepada orang yang berusaha menunjukkan kebenaran dan akan memberi pertolongan.
Allah mengurniakan mukjizat kepada Nabi Musa dalam bentuk sihir bersesuaian dengan zamannya. Ketika Nabi Musa diutuskan, manusia di dunia ini sedang tenggelam dalam ketaksuban mereka terhadap sihir.
Allah mahu Nabi Musa berdakwah kepada umatnya dengan menunjukkan bukti kekuasaan Allah mampu mematahkan sihir yang dilakukan dengan bantuan syaitan dan jin.