Proton Persona SE Eksklusif

Berdasarkan maklum balas peminat kereta nasional, Proton melancarkan versi edisi khas terbaru, Persona SE (Special Edition) yang menerima suntikan beberapa ciri eksklusif termasuk hiasan kulit dan skirting penuh lebih sporty.

Proton Persona SE yang hadir dengan dua warna pilihan iaitu Merah Brilliant dan Biru Haze turut dilengkapi paparan meter terkini, beg udara berkembar, kawalan kelajuan automatik (auto cruise) dan sistem brek anti kekunci (ABS).

Malah, pembeli juga ditawarkan set sistem GPS untuk pemanduan lebih teratur, menjimatkan dan mudah digunakan.

Terbaru, ruang dalaman Persona SE disaluti kulit berwarna gelap untuk semua kerusi termasuk panel sisi pintu, stereng dan tombol gear menjadikannya lebih eksklusif serta bergaya.

Fungsi ‘auto cruise’ yang dapat mengekalkan kelajuan secara automatik dan membantu pemilik kenderaan menjimatkan minyak ketika mengharungi perjalanan jauh.

Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata penambahan beberapa teknologi terbaru itu hasil maklum balas pemilik Persona.

“Proton Persona menerima jualan baik di luar negara seperti Australia, United Kingdom, Indonesia, Brunei dan Singapura dengan jumlah eksport antara 800 hingga 1,000 unit sebulan.

“Persona SE diperkenalkan untuk memberi lebih nilai kepada pembeli dan kemewahan aksesori premium,” katanya.

Menurutnya, pengenalan Persona SE adalah bukti komitmen Proton terhadap falsafahnya iaitu menghasilkan kereta diperlukan di pasaran pada harga yang sesuai.

“Walaupun ditambah dengan pelbagai ciri peningkatan, Proton masih mengekalkan harga Persona SE di bawah RM60,000 seunit.

“Ini menjadikan model ini lebih berdaya saing berbanding model lain dalam kategori sama di pasaran,” katanya.

Ditawarkan dengan harga RM59,800 termasuk insurans, Persona SE bakal menarik pembeli yang masih mencari kenderaan sesuai dengan ciri eksklusif dan berpatutan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url