Top Ad 728x90

Hantar wang ke luar negara melalui Perbankan Internet

Perkembangan dunia Internet dan mobiliti masa kini jelas memperlihatkan pelbagai cabang perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna menjadi lebih mudah, pantas dan efisien untuk digunakan.

Sebagai bukti, jutaan pengguna di seluruh dunia kini menggunakan Internet sebagai medium perantaraan untuk menjalankan urusniaga harian termasuk urusan perbankan.

Pembayaran bil, transaksi wang, pertukaran nilai mata wang, urusniaga pembelian dan pelbagai perkhidmatan perbankan lain dapat dilakukan hanya dengan satu klik sahaja.

Justeru, baru-baru ini, CIMB Bank Bhd. memantapkan lagi perkhidmatan e-perbankan CIMB Clicks dengan menawarkan perkhidmatan pemindahan wang secara online ke seluruh dunia menerusi kerjasama antara The Western Union Company (Western Union).

Penawaran perkhidmatan perpindahan wang secara online itu, secara tidak langsung memudahkan pengguna untuk menjalankan transaksi perpindahan wang kepada 355,000 cawangan bank Western Union yang terdapat di 200 negara di seluruh dunia.

Kini, para pelanggan CIMB berpeluang untuk memindahkan wang mereka ke mana-mana cawangan Western Union 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Perkhidmatan tersebut benar-benar sangat efisien dan memudahkan pengguna dari segi menjimatkan masa dan tidak perlu untuk ke bank bagi tujuan tersebut.


Portal CIMB

Pengguna hanya perlu melayari portal www.cimbclicks.com.my dan melalui beberapa proses ringkas sebelum berupaya untuk memindahkan wang mereka.

Menurut Ketua Peruncit Perbankan CIMB Bank Bhd., Peter England, kerjasama tersebut menjadikan CIMB sebagai bank yang kedua di dunia menawarkan perkhidmatan perpindahan wang secara online ke bank Western Union.

‘‘Melalui penawaran perkhidmatan ini, pengguna boleh menjalankan urusan transaksi perbankan dengan lebih selamat, pantas dan mudah.

‘‘Perkhidmatan ini turut membolehkan para pelanggan CIMB untuk menghantar wang dengan cepat terutamanya kepada pelanggan yang mempunyai anak yang sedang belajar di luar negara,’’ katanya ketika majlis pelancaran perkhidmatan perpindahan wang secara online dengan kerjasama bank Western Union di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah England, perpindahan wang bukan sahaja boleh dibuat menerusi komputer, malah transaksi tersebut turut boleh dilakukan menggunakan telefon bimbit.

Dalam pada itu, jelas Naib Presiden Serantau Asia Tenggara Western Union, Sunil Balagopal, kerjasama tersebut merupakan komitmen Western Union dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan mereka.

‘‘Salah satu faktor yang mendorong terhadap penawaran perkhidmatan ini adalah disebabkan peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang menetap, bekerja, belajar mahupun bercuti di luar negara.

Di samping itu juga, para pelanggan CIMB turut berpeluang untuk menikmati promosi yang ditawarkan menerusi perkhidmatan tersebut.

Setiap transaksi pengiriman wang yang dilakukan oleh pelanggan CIMB secara tidak langsung membolehkan mereka untuk menerima ganjaran awal, hadiah bulanan dan juga hadiah utama dalam tempoh promosi.

Tempoh promosi tersebut yang bermula dari 8 Oktober hingga ke 31 Disember tahun ini.

Sebagai contoh 50 pelanggan pertama yang menggunakan perkhidmatan ini akan menerima RM50, manakala bagi hadiah bulanan pula, 3 pemenang akan terpilih untuk menerima RM2,000 dan pemenang akan dipilih berdasarkan nilai transaksi yang tertinggi dibuat oleh pelanggan.

Sementara itu, bagi hadiah utama, pelanggan yang membuat transaksi tertinggi dalam tempoh promosi akan dipilih untuk memenangi hadiah utama iaitu wang tunai sebanyak RM10,000. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pelanggan CIMB boleh melayari laman web www.cimbclicks.com.my.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90