ERA kekal stesen radio popular
Stesen radio ERA yang bernaung di bawah Airtime Management and Programming Sdn. Bhd. (AMP) mendahului kedudukan tersebut dengan jumlah 4.5 juta pendengar sehari.
Hot FM iaitu stesen radio milik Kumpulan Media Prima pula didengari oleh kira-kira 4.3 juta pendengar.
Bagaimanapun, Hot FM mencatat kenaikan pendengar yang ketara daripada 2.9 juta pendengar pada tahun 2006 kepada 4.3 juta pendengar tahun ini.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Nielsen Media Research baru-baru ini, stesen radio ERA tidak berganjak daripada kedudukannya sebagai rangkaian radio nombor satu tanah air buat kali ke-18 berturut-turut.
Kaji selidik itu juga mendapati rancangan awal pagi, lewat petang dan malam di ERA masing-masing berjaya menarik lebih dua juta pendengar.
AMP dalam satu kenyataan berkata, ERA menunjukkan peningkatan sebanyak 45,000 pendengar teras berbangsa Melayu berumur 25 hingga 34 tahun untuk rancangan awal pagi, manakala secara keseluruhannya bilangan pendengar teras ERA bertambah sebanyak 55,000 pendengar.
Catatan rekod berkenaan dibuat menerusi Liputan Kedua Pengukuran Pendengar Radio 2008 oleh Nielsen Media baru-baru ini.
Selain ERA, AMP juga mempertahankan kedudukan nombor satu bagi stesen radio bahasa Inggeris iaitu Hitz.fm, bahasa Cina (MY FM) dan bahasa Tamil (THR Raaga).
- Utusan