Kejadian Hawa
WALAUPUN Allah memberi Nabi Adam tempat di dalam syurga yang indah dan makanan yang lazat, tetapi sayangnya Nabi Adam tinggal di syurga seorang diri dan sebatang kara. Setiap hari Nabi Adam melalui hari-hari yang penuh dengan kesepian. Tiada tempat untuknya meluahkan suka, duka, kasih dan sayangnya.
Allah tahu kesepian yang dialami oleh Nabi Adam di dalam syurga yang indah itu. Allah sangat kasihan dan simpati melihat Nabi Adam. Oleh itu, Allah akan mencipta makhluk baru yang sama dengan Nabi Adam, tetapi jenis wanita. Tujuannya ialah menyempurnakan segala kekurangan dan kesepian dalam hidup Nabi Adam.
Makhluk yang diciptakan itu akan menjadi isterinya. Di samping itu juga untuk meramaikan makhluk di muka bumi bagi membentuk sejarah kebudayaan serta mengembangkan keturunan supaya menjadi lebih besar.
Sedang baginda termenung di bawah sepohon pokok, baginda ternampak sepasang burung sedang bergurau senda. Terdetik di hatinya serta berharap ada seorang teman yang boleh bercakap-cakap dengannya. Sedang asyik baginda memerhatikan burung itu, baginda pun rasa mengantuk dan terus tertidur. Di kala baginda tertidur itulah, Allah telah menciptakan manusia kedua, jenis wanita daripada tulang rusuk pendek yang terdapat di bahagian kiri tubuh Nabi Adam.
Setelah Nabi Adam bangun daripada tidur dan membuka matanya, baginda melihat seseorang berdiri di sisinya. Orang itu tidak pernah dilihat oleh Nabi Adam pun mempersilakannya duduk di sampingnya, dan lalu bertanya kepada orang itu, "Siapakah engkau dan siapa namamu?"
Wanita itu pun menjawab, "Aku adalah wanita dan belum tahu akan namaku sendiri."
Adam pun bertanya lagi, Kenapa kamu diciptakan?"
Dia menjawab, "Untuk menenangkan dirimu".
Mendengar kata-kata wanita itu, Nabi Adam sangat suka dan gembira. Nabi Adam pun memberi nama wanita itu 'Hawa'.
Selepas itu, Nabi Adam pun dikahwinkan dengan Hawa sambil disaksikan oleh Allah, para malaikat dan sekelian penghuni syurga. Kedua-duanya hidup bahagia dan girang di dalam syurga yang aman dan tenteram. Mereka boleh makan dan minum sepuas-puasnya kerana segala-galanya sudah tersedia dengan cukup di dalamnya.