Anda bebas menukar penyedia telefon bimbit
Nombor talian anda memainkan peranan penting apatah lagi ia digunakan bertahun-tahun dan sudah dikenali rakan atau keluarga.
Bayangkan ada perkara yang menyebabkan anda kurang berpuas hati dengan penyedia perkhidmatan atau operator anda yang membuatkan perlu bertukar kepada operator lain. Pastinya sukar hendak memaklumkan semua kenalan mengenai nombor baru anda itu.
Memang mudah kalau penyedia syarikat telekomunikasi menyediakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memaklumkan kepada orang lain mengenai pertukaran nombor anda namun ia terhad kepada hubungan yang direkodkan dalam buku telefon saja.
Ia menyulitkan jika pemilik nombor yang tidak disalin dalam buku telefon bimbit tiba-tiba menghubungi anda di kemudian hari.
Walaupun ia hanya alasan remeh bagi sesetengah pembaca tapi Kemudahalihan Nombor Mudah Alih (MNP) mampu menyelesaikan kekusutan dengan menyediakan pilihan kepada pengguna telekomunikasi di negara ini.
Malaysia bukan negara pertama yang menyediakan perkhidmatan MNP. Australia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Pakistan, Belgium, Denmark, Estonia, Itali, Luxembourg, Norway, Portugal, Sepanyol, Sweden, Turki dan Romania sudah memulakannya sejak kebelakangan ini malah ada yang sudah bertahun melakukannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (Malaysia) Bhd (Celcom), Datuk Seri Shazalli Ramly memaklumkan syarikat telekomunikasi diterajuinya sudah memulakan persediaan rapi menghadapi pelaksanaan MNP itu.
Beliau berkata, pengguna mempunyai hak bertukar kepada penyedia telekomunikasi lain terutama jika liputan talian tidak menyeluruh.
"Kami percaya apa yang ditawarkan mampu memenuhi permintaan pelanggan apatah lagi Celcom unggul di hadapan dari segi liputan terjelas, terpantas dan terluas bukan saja di Lembah Klang, malah di seluruh negara," katanya.
Shazalli menegaskan, Celcom tiada masalah dari segi liputan dan kebanyakan pengguna berpuas hati dengan tahap perkhidmatannya sekali gus membantu meletakkan Celcom pada kedudukan terbaik untuk kekal menawarkan pilihan bijak kepada mereka.
Katanya, Celcom melakukan beberapa langkah perlu untuk menarik pengguna di samping menjanjikan perkhidmatan unggul bagi memenuhi keperluan pengguna.
"Bagaimanapun, MNP bukan hanya terhad kepada keperluan membabitkan kempen dan promosi semata-mata tetapi perlu disusuli perbincangan dan kerjasama teliti antara keempat-empat syarikat telekomunikasi tempatan," katanya.
Menurutnya, ia tidak boleh dilakukan bersendirian kerana semua operator perlu menyerah dan menerima data milik pengguna yang mahu menggunakan perkhidmatan MNP.
"Selain itu, kami sentiasa menjalankan promosi serta menawarkan pakej terbaik kepada pengguna walaupun MNP dilaksanakan atau tidak," katanya.
Tambahnya, Celcom akan terus mara ke hadapan bagi memastikan pelanggan sedia ada Celcom kekal dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima malah lebih penting bagi syarikat penyedia telekomunikasi ialah pengukuhan rangkaian dan prasarana.
Sementara itu Ketua Eksekutif DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), Johan Dennelind, menggalakkan orang ramai menukar operator telekomunikasi jika tidak 'berkenan' dengan perkhidmatan ditawarkan.
"Kami percaya DiGi memiliki pakej yang mudah, lengkap dan menyeluruh di samping layanan perkhidmatan pelanggan sempurna," katanya.
Johan menjangkakan pengguna pasca bayar adalah segmen paling banyak yang akan menukar perkhidmatan talian mereka melalui MNP dan DiGi sudah bersedia dengan menyediakan pakej tidak menyusahkan kepada pelanggan.
"MNP adalah tawaran positif dan ia memberi cabaran kepada kami untuk menyediakan yang terbaik kepada pelanggan. Kalau kita dapat menarik satu pelanggan, kita menang namun kalau hilang satu pelanggan bermakna kekalahan diterima," katanya.
Menurutnya, tawaran yang diberikan sesebuah operator menjadi 'jurucakap' untuk dirinya sendiri sama ada ia mampu mempengaruhi pelanggan atau tidak tapi ia perlu menggembirakan pengguna.
"Saya amat optimistik apabila MNP terlaksana namun tidak dapat menjangkakan perubahan positif atau negatif dari pelanggan kami," kata Johan.
Beliau bagaimanapun tidak menggalakkan orang ramai menukar perkhidmatan operator mereka secara kerap atas alasan mahu menguji MNP kerana ia tidak sihat untuk industri.
"Kami hanya mahukan pelanggan yang benar-benar menghargai tawaran diberikan syarikat," ujar Johan.
DiGi menjangkakan MNP yang diperkenalkan mampu melonjakkan kedudukannya dalam segmen pasca bayar dan prabayar ke tahap lebih baik.
"Kedudukan ketiga bukan sesuatu yang patut dibanggakan. Melalui MNP, ia mampu memberikan DiGi peluang memperbaiki kedudukan dalam pasaran dengan menyediakan nilai terbaik kepada pelanggan," katanya.
Beliau memaklumkan DiGi adalah penyedia perkhidmatan pertama memperkenalkan kadar rata rendah ke semua rangkaian dan segmen iaitu 10 sen seminit.
"Selain itu, kami tidak mengenakan sebarang yuran kepada pengguna prabayar selain mengekalkan panggilan aktif selama 365 hari tanpa caj tambahan malah untuk pelanggan pascabayar pula akan menikmati pengaktifan percuma tanpa perlu membayar deposit," katanya
DiGi kini mula menggerakkan seluruh rakan pengedar dan rangkaian cawangannya di seluruh negara bagi menjalankan kempen dan usaha meyakinkan pengguna mengenai tawaran yang disediakannya bagi perkhidmatan MNP.
Dalam pada itu, Maxis Communications Bhd berkata pengguna mudah alih yang ingin bertukar operator akan mendapati mereka mudah berbuat demikian di lebih 3,000 lokasi khas kemasukan Maxis di seluruh negara.
Melalui satu kenyataan dikeluarkan, Maxis memaklumkan langkah itu akan menjadi lebih mudah bagi pelanggan yang berminat dengan pelaksanaan pemindahan tanpa kertas atau 'online' di laman webnya, bagi pengguna prabayar dan pasca bayar.
Inisiatif Maxis itu memudahkan dan menyenangkan pengguna mudah alih melalui proses pemindahan tanpa kertas.
Pengguna yang ingin menukar kepada Maxis hanya perlu membawa MyKad mereka ke mana-mana 3,000 lokasi pemindahan, termasuk pusat dan pengedar Maxis untuk menikmati proses pendaftaran yang cepat dan dilakukan tanpa kertas.
"Persaingan melalui MNP hanya untuk kebaikan pengguna. Ia akan memaksa semua operator agar lebih cekap dan kami amat menyokong sistem baru (MNP) ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Sandip Das.
Maxis dilaporkan mempunyai seramai 10,534,000 pelanggan mudah alih di seluruh negara sehingga akhir Jun lalu dengan syarikat itu kini menjadi peneraju pasaran dalam kedua-dua segmen iaitu prabayar dan pasca bayar.
Turut terbabit dalam usaha menggalakkan perkhidmatan MNPnya ialah U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih 3G.
Sepanjang MNP, U Mobile menyediakan kemudahan kedua-dua pelanggan prabayar dan pasca bayarnya menukar perkhidmatan mudah alih lain kepada pelan kadar U Mobile tanpa yuran pemprosesan dan juga menikmati RM10 dikreditkan kepada akaun baru mereka.
Ketua Pegawai eksekutif U Mobile Oh-Kwang Jin berkata, ia akan juga memberikan pek prabayar percuma dengan kredit tambah nilai RM10 kepada pelanggan prabayar dan pascabayar yang berjaya dalam permohonan mereka berpindah kepada U Mobile.
Di samping itu, pelanggan prabayar yang berpindah kepada Pelan Prabayar U Mobile 018 akan menerima 10 SMS percuma bagi setiap penggunaan RM10 sehingga maksimum 110 SMS setiap tambah nilai dalam pakej ditawarkan hingga akhir tahun ini.
"Kami yakin tawaran baru yang inovatif ini akan menarik pengguna telefon mudah alih mendapatkan lebih banyak nilai dari perkhidmatan dilanggani," katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula memaklumkan hanya nombor yang aktif saja boleh dialihkan. Oleh itu, anda tidak perlu menamatkan talian telefon sedia ada sebelum melakukan pengalihan nombor.
Terdapat kesulitan bakal dihadapi jika pengguna mempunyai sebarang bil tertunggak atau masih mempunyai kontrak dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedia ada.
Mereka akan menolak permintaan untuk mengalihkan nombor (permintaan dibuat oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang baru) jika terdapat masalah di atas.
Bagi pengguna prabayar, baki kredit mereka akan terhapus sebaik nombor berjaya dialihkan dan baki tidak akan dipindahkan ke penyedia perkhidmatan yang baru.
Proses pengalihan nombor mengambil masa tidak lebih dari lima hari bagi pengalihan nombor individu manakala pengalihan nombor untuk perniagaan mengambil masa tidak lebih 10 hari dan pengguna akan diberikan kad sim baru sebaik menukar ke talian baru..
MNP sememangnya memberi kemenangan kepada pengguna dan terpulang kepada pengguna memilih perkhidmatan telekomunikasi terbaik yang mampu memberi pulangan kepada kos.
Bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati selepas ini kerana anda tidak mengetahui sama ada talian yang dihubungi memiliki operator sama atau tidak. Ia mungkin akan meningkatkan kos tanpa disedari.
Untuk operator pula, MNP adalah 'amaran lembut' agar sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik atau berdepan risiko hilang bisnes pada masa akan datang.