Bahana skim cepat kaya
Oleh itu tidak hairan jika skim cepat kaya boleh mengganggu gugat pendirian seseorang atau membuatkan mereka rambang mata dengan janji-janji manis yang ditaburkan.
Bolehlah dikatakan secara logiknya tawaran dan insentif yang diberikan oleh pengendali skim cepat kaya ini sememangnya tidak masuk akal dan mengarut.
Namun masih ramai yang terpengaruh dan terpedaya dengan penipuan sebegini dan adalah sangat menyedihkan bila ia membabitkan simpanan seseorang yang telah disimpan sejak sekian lama demi masa depan.
Lebih malang lagi jika sesebuah negara itu menjadi huru-hara akibat dari skim sebegini.
Dan itulah yang berlaku di Colombia apabila negara ini kini diambang huru hara akibat dari skim cepat kaya.
Lebih malang lagi kebanyakan mereka yang terlibat merupakan golongan miskin yang begitu dahagakan perubahan berikutan kehimpitan hidup.
Jutaan rakyat Colombia dilaporkan melabur dalam syarikat kewangan tidak berlesen dan situasi panik tercetus apabila beberapa buah syarikat antaranya, Proyecciones DRFE, DMG dan Dinero Rapido Facil Efectivo yang bermaksud "Wang Mudah dan Cepat" ditutup sejak 19 November lepas selepas berita mengenai pemilik melarikan diri ke luar negara dengan wang pelaburan berjumlah lebih 600 bilion peso (RM945 juta).
Syarikat-syarikat berkenaan dikatakan menawarkan keuntungan antara 70 hingga 150 peratus sebulan.
Berikutan itu ribuan pelanggan yang marah dengan berita ini telah bertindak merusuh, menyerang dan mencuri barangan di pejabat cawangan syarikat-syarikat tersebut di seluruh negara.
Pegawai kerajaan turut mengarahkan pihak polis menutup operasi skim piramid lain walaupun sebilangan pelanggan berarak bagi mempertahankan syarikat tersebut.
Lebih membimbangkan negara ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara sejak Khamis lepas dalam kempennya membanteras skim pelaburan haram dan melindungi kepentingan rakyat.
Perintah darurat tersebut akan dikuatkuasakan selama 30 hari dan mungkin dilanjutkan selama 30 hari lagi.
Terbunuh
Setakat ini dua orang dilaporkan terbunuh dan pegawai kerajaan telah merampas 92.4 bilion peso (RM144 juta) daripada 68 buah pejabat cawangan syarikat skim cepat kaya berkenaan dan menahan 52 orang pekerja.
"Syarikat ini telah dibenarkan beroperasi sejak sekian lama kerana pegawai yang terbabit dalam pemantauan untuk aktiviti seperti itu gagal bertindak kerana tamak atau pun terlalu naif.
"Rakyat perlu faham bahawa tindakan kerajaan ini adalah untuk melindungi mereka," jelas Menteri Dalam Negeri, Fabio Valencia ketika mengumumkan perintah darurat.
Dalam pada itu pemilik Syarikat DMG, David Murcia dan beberapa syarikat pelaburan piramid di negara ini berkali-kali menafikan mereka menjalankan perniagaan skim cepat kaya.
Murcia yang syarikatnya diperintah tutup oleh kerajaan pada Isnin lalu dan kini ditahan polis dengan bantuan pihak berkuasa Panama, sedang mengumpulkan sokongan dan ingin berunding dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu.
Menteri Perbendaharaan Oscar Ivan Zuluaga, bagaimanapun menolak cadangan itu.
Malah dalam temu bual melalui Radio Caracol, Zuluaga mahu Murcia memulangkan semula duit pelabur-pelabur atau berdepan dengan risiko akan dipenjarakan.
Peguam Syarikat DMG, Abelardo De La Espriella pula berkata, tindakan kerajaan mengambil alih syarikat-syarikat pelaburan piramid itu adalah tidak mengikut Perlembagaan dan menafikan bahawa syarikat itu membayar bunga sebanyak 200 peratus atau lebih.
"Pihak syarikat tidak takut kepada undang-undang kerana kami bersenjatakan kebenaran," katanya.
Bagaimanapun, mereka gagal menjelaskan bagaimana operasi mereka mampu membayar bunga pinjaman lebih 100 peratus sebulan.
Setakat ini, tidak diketahui berapa ramai rakyat Colombia yang telah melaburkan wang mereka dalam skim pelaburan haram itu.
Skim piramid menawarkan pulangan lumayan dengan menggunakan wang pelabur baru untuk membayar mereka yang melabur terlebih dahulu, namun skim pelaburan itu akan menghadapi masalah apabila aliran wang tidak cukup untuk membayar keuntungan pelaburan kepada pelabur terkemudian setelah bilangan mereka terus bertambah.
Dalam perkembangan terbaru kerajaan mengumumkan terdapat bukti pengedar dadah mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat pelaburan haram yang telah menyebabkan kehilangan wang pelabur-pelabur bernilai berjuta-juta dolar di negara ini.
Menurut Presiden negara ini, Alvaro Uribe beliau telah menemui beberapa anggota Parlimen dan memberitahu kerajaan merekodkan hubungan antara syarikat DMG dengan wang hasil dadah.
Uribe dilaporkan akan mengemukakan bukti terhadap DMG dan syarikat-syarikat yang mengendalikan skim piramid di mahkamah tidak lama lagi.
Pegawai kerajaan bagaimanapun berjanji akan membayar semula pelaburan daripada kalangan pelabur miskin.
Seorang pegawai kerajaan berkata, mereka akan menggunakan wang syarikat-syarikat pelaburan yang ditutup itu untuk dibayar semula kepada pelabur, dengan mereka yang paling miskin akan mula-mula menerima bayaran.
Hukuman
Antara langkah terbaru untuk menangani masalah skim cepat kaya di negara ini yang disertai oleh berjuta-juta penduduknya adalah dengan menambah tempoh hukuman penjara dari enam kepada 20 tahun ke atas mereka yang mengutip wang orang ramai secara haram, selain memberikan kuasa polis kepada Datuk Bandar dan Gabenor untuk menutup perniagaan seumpama itu.
Colombia sememangnya merupakan pengeluar dadah jenis kokain terbesar di dunia dan banyak institusi di negara itu menjadi korup disebabkan tindakan kartel-kartel dadah yang berpengaruh besar di negara ini.
Oleh itu adalah tidak mengejutkan jika perkara ini benar-benar berlaku.
Namun adalah diharapkan kejadian sebegini memberi pengajaran kepada rakyat negara ini yang sering kali terpedaya dengan pelbagai skim dan pelaburan yang menjurus kepada untuk cepat menjadi kaya tanpa perlu berusaha.
Akhirnya ia hanya menjerat diri sendiri dan lebih malang lagi simpanan yang bukannya sedikit akhirnya hangus dikaut oleh mereka yang licik.