Temuramah dengan Rafidah & Shahrizat

Di dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal malah dalam politik juga tidak pernah ada istilah perjanjian abadi, apatah lagi bagi tukan suatu kedudukan yang berkaitan rapat dengan soal kekuasaan. Mungkin inilah yang berlaku dalam Pergerakan Wanita UMNO sekarang apabila ia bakal menyaksikan pertembungan dua pemimpin iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abd.Jalil yang selama ini bukan sahaja sahabat dan kawan dalam politik malah tinggal berjiran di kawasan perumahan yang sama di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pelan peralihan kuasa yang sejak awal lagi dilihat janggal dan dimeterai pada 4 Ogos lalu akhirnya hanya menjadi catatan mesyuarat. Jika mengikut pelan berkenaan, Rafidah akan menyerahkan kuasa Ketua Wanita kepada Shahrizat pada Jun 2009 tetapi pencalonan bahagian-bahagian yang bermula akhir Oktober lalu mengubah segala-galanya.

Kini mereka akan bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan Ketua Wanita. Dalam pertemuan berasingan dengan Mingguan Malaysia, kedua-dua pemimpin itu memberi pandangan masing-masing berhubung kemelut yang berlaku.

Di Tingkat 37, Menara Dato’ Onn, Rafidah menjelaskan kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD. RAZAK kenapa beliau akhirnya membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan manakala di Bukit Damansara pula, Shahrizat menerangkan kepada AZMAN ANUAR dan ROSNI HASSAN kedudukan sebenar kenapa beliau memilih untuk mencabar ketuanya itu.


Hanya sahut cabaran

MINGGUAN: Sejak awal lagi ada pandangan yang menyatakan hakikatnya pelan peralihan yang dilakukan tidak diterima, apa pandangan Tan Sri?

RAFIDAH: Pada 4 Ogos lalu, kita mencadangkan satu proses peralihan jawatan memandangkan Perhimpunan Agung UMNO pada masa itu masih ditetapkan pada Disember. Saya kata kalau jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak ditandingi, saya dan Shahrizat akan memegang jawatan sehingga Jun dan pada bulan berkenaan saya akan menyerahkan jawatan itu bagi membolehkan beliau memangku jawatan sehingga penggal berakhir.

Itu telah saya kemukakan kepada ramai pemimpin termasuk di hadapan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Malah ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat exco dan pertemuan empat mata dengan Shahrizat. Sepanjang tempoh itu hingga 9 November tidak ada apa- apa bantahan, bahkan semuanya bersetuju dan menyokong malah Shahrizat sendiri bukan sahaja menyokong tetapi juga mengatakan dia tidak akan bertanding sungguhpun dicalonkan.

Walaupun pencalonan menyaksikan saya mendapat 118 pencalonan untuk memegang jawatan sehingga Jun dan ada juga bahagian yang menyokong beliau untuk bertanding ketua tetapi hakikatnya lebih ramai yang inginkan peralihan berjalan.

Justeru bagi saya tidak timbul soal orang tak terima kerana tidak pernah dengar apa-apa bantahan. Saya hairan kenapa selepas semua yang bertanding cukup pencalonan barulah timbul desakan untuk mempercepatkan peralihan kepada Mac. Kalau Mac maknanya bukanlah peralihan tetapi menyerah bulat-bulat jawatan tanpa bertanding kepada Shahrizat.

Tetapi kenapa Tan Sri begitu hendak mempertahankan tempoh tiga bulan tersebut seolah-olah ada agenda tersembunyi?

RAFIDAH: Saya ada sebab yang sangat besar untuk memberi masa, bukan tiga bulan sebenarnya tetapi enam bulan jika Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada Disember tahun ini. Orang kata apalah tiga bulan. Saya nak kata sikap seperti inilah yang menghancurkan parti. Dalam masa 13 hari pilihan raya kita boleh ditumbangkan di lima negeri dan dalam masa itu juga rakyat menolak kita malah Shahrizat sendiri kalah. Inilah sikap yang mengatakan apalah tiga bulan. Saya hendak beritahu, tiga bulan itulah yang akan menentukan sama ada kita akan kalah atau menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ini kerana hasrat saya ialah jika pelan peralihan dipersetujui, dalam tiga bulan selepas Perhimpunan Agung UMNO saya akan pergi ke akar umbi dan berjumpa Wanita Bahagian dan menyediakan kerangka kerja untuk pilihan raya umum supaya apabila Shahrizat mengambil alih beliau tidak terawang-awang.

Apakah ini bermaksud Tan Sri tidak mempercayai kewibawaan Shahrizat untuk melakukan tugas itu?

RAFIDAH: Bukan tak percaya, kawasan dia pun dia kalah, habis itu macam mana? Minta maaf cakap, saya cakap tak pandai depan lain, belakang lain. Ini masa krisis, ini bukan masa pilihan raya kita menang landslide victory. Kalau menang besar ambillah, saya pun tidak hairan, tetapi ini masa genting, hari-hari kita diasak di Parlimen oleh pembangkang, hari-hari kerajaan negeri pembangkang buat macam-macam kerja dan kita menghadapi masalah amat besar menyediakan pasukan untuk PRU Ke-13. Jangan sesekali siapa pun menidakkan tiga bulan atau kata apalah tiga bulan. Inilah sebabnya kita kalah di Lembah Pantai, inilah sebabnya kita kalah di lima negeri, sebab sikap ‘apalah tiga bulan’. Dalam tiga bulan ini saya berazam untuk turun ke bawah, tetapi sekarang ini tidak timbullah tiga bulan, kalau diizinkan Allah dan dengan sokongan Wanita saya akan teruskan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Tidakkah tindakan memberi Shahrizat memangku jawatan sebagai tindakan tidak adil kerana ia akan menyukarkan peranan beliau?

RAFIDAH: Inilah saya hairan kenapa perkataan memangku ini dimain-mainkan kerana kalau kita tengok sejarah, dulu pada tahun 1976 Tun Razak meninggal dunia, Tun Hussein Onn memangku jawatan Presiden selama setahun sembilan bulan. Berbanding memangku jawatan Presiden dan Perdana Menteri, memangku jawatan Ketua Wanita UMNO tidak ada portfolio, mesyuarat pun dua tiga bulan sekali. Yang buat kerja ialah Wanita di bawah, kita sebagai koordinator di atas, kita ada exco, kita ada biro dan kita ada negeri. Dalam soal memangku ada dalam Perlembagaan mengatakan boleh memangku.

Malah dalam Pemuda UMNO sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah memangku Ketua Pemuda selama dua tahun selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak pernah pun Hishammuddin merungut. Kalau Wanita UMNO remeh temehkan nama jawatan, padahnya menanti dalam pilihan raya akan datang. Kita harus mementingkan kerja, saya bukan menteri tetapi saya bekerja macam menteri juga termasuk berbincang dengan komponen BN. Apalah ada pada nama pemangku ke tidak.

Ada juga berpendapat kalau memangku agak sukar untuk mempengerusikan mesyuarat Wanita BN?

RAFIDAH: Saya pun hairan juga macam mana agak Tun Hussein Onn menjadi Pengerusi BN waktu dia memangku Presiden UMNO. Sebenarnya tidak ada masalah, Presiden UMNO sama ada memangku atau tidak adalah Pengerusi BN dan Shahrizat sebagai pemangku Ketua Wanita UMNO, tidak ada masalah, beliau akan menjadi Pengerusi Wanita BN. Ini kerana perkataan memangku cuma dari segi nama, hakikatnya beliau adalah ketua. Takkan beliau tidak faham tetapi tak apalah saya kena terangkan dan Naib Ketua BN bukannya Naib Ketua Wanita UMNO, Naib Ketua Wanita BN ialah semua ketua parti komponen.

Apakah mungkin Tan Sri mempertahankan tempoh tiga bulan itu kerana menaruh harapan untuk kembali ke Kabinet?

RAFIDAH: Orang yang berpandangan macam ini saya minta beristigfar banyak-banyak. Jangan nilai orang lain dengan nilai diri sendiri, kalau mereka yang agaknya nak sangatkan jawatan. Saya tengok Wanita UMNO di peringkat bawah tiada yang riuh rendah mahukan jawatan. Saya terima hakikat bahawa saya orang pencen. Saya gembira sebagai orang pencen bahkan kalau jadi ketua lagi saya ada banyak masa untuk tumpukan kepada UMNO. Saya kata awal-awal lagi sewaktu saya meninggalkan MITI, saya sangat bersyukur kerana sudah menjadi menteri selama 28 tahun, kalau Tuhan kata setakat itu rezeki, maka saya terimalah pencen bulan-bulan. Saya masih ahli Parlimen dan diberi kekuatan, maka tidak terlintas di kepala saya kembali ke Kabinet. Kalau saya teringin jadi menteri Kabinet buat apa saya buat pelan peralihan? Buat apa saya tawar awal-awal untuk berhenti Jun? Sudah tentulah awal-awal saya kata saya takkan berhenti. Sebab itu saya kata niat itu mustahak tapi kalau kita cakap macam ini tentu orang tak percaya, yang mustahaknya Allah percaya, Allah mengetahui. Cuba fikir, logik atau tidak pada Ogos saya kata nak serah Jun, pada masa itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umum beliau akan pegang jawatan sampai 2010, saya dah tawar Jun 2009, adakah itu nak jawatan Kabinet? Kalau itulah saya pun akan tetapkan 2010 supaya matchinglah. Saya dah nekad hendak serah jawatan pada 2009. Ini kerana saya tahu ada kerja harus dibuat memandangkan keadaan parti berbeza dari dulu, begitu juga keadaan negara yang memerlukan Wanita sebagai tulang belakang UMNO bekerja betul-betul. Bagi saya tugas itu banyak, masa enam bulan itu saya akan isi dengan buat kerja, dan sebahagian dari masa itu untuk BN. Faham- faham la BN sekarang bukan macam BN dulu, saya kena selesaikan di peringkat Wanita BN kerana buat masa ini saya anggota Dewan Kerja Tertinggi BN. Saya sudah nyatakan dalam mesyuarat exco, sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO, saya, Shahrizat dan kawan-kawan akan turun padang berjumpa dengan semua Wanita negeri untuk menetapkan kerja apa hendak dibuat. Pemulihan UMNO memerlukan pemulihan semangat dan saya rasa kita sama-sama mem bantu memulihkan semangat masing-masing. Itulah sebabnya masa enam bulan dan lepas itu Shahrizat ambil alih. Jika itu tidak diterima dan dicabar maka terpaksalah. Saya tidak mencabar dan saya tidak sepatah pun bercakap, saya hanya menyahut cabaran kerana saya mendapat 118 bahagian beri pencalonan, ia bukan sedikit.

Tetapi sudah ada bahagian yang sebelum mencalonkan Tan Sri telah mengalihkan sokongan mereka?

RAFIDAH: Tidak tahulah, mungkin mereka tidak ikhlas, saya tak tahu. Kita tidak usah kaji apa yang dah berlaku, kita tunggu 24 Mac di situ perwakilan menentukan siapa pemimpin. Buat apa kita nak debat dan berpolemik. Saya dah dicabar kerana saya ada pencalonan yang banyak, lebih daripada Shahrizat maka saya terpaksa menghargai proses demokrasi, yang dua tiga yang lari itu tidak apalah. Bagi saya kalau proses peralihan tidak dihormati, maka bertandinglah kita.

Ada dakwaan yang menyatakan terdapat bahagian yang menerima surat arahan agar mencalonkan Tan Sri.

RAFIDAH: Kalau itu dakwaan mereka tunjukkan kepada saya surat arahan tersebut. Itu semua adalah fitnah. Saya hairan dengan dakwaan seumpama ini, oleh itu saya hendak minta melalui media jangan jadikan fitnah sebagai asas untuk berlawan.

Apabila ada pertandingan pasti akan berlaku perpecahan, bagaimana Wanita hendak mengendalikan keadaan ini?

RAFIDAH: Itu terpulang kepada pemimpin dan ahli- ahli Wanita sendiri. Kalau dalam pemilihan ini mereka berkempen bermati-matian, kata mengata, fitnah memfitnah dan tersinggung hati maka akan berlakulah perpecahan, tetapi kalau kita berkempen dengan hasrat untuk menentukan ketua dan kemudiannya bersatu semula di bawah ketua, maka ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

Sejarah UMNO membuktikan, pencalonan yang banyak bukan jaminan seseorang calon itu boleh menang dalam pemilihan, apa pandangan Tan Sri?

RAFIDAH: Tidak apa, saya terima hakikat itu, tetapi yang menandakan boleh bertanding atau tidak ialah pencalonan. Kita tidak boleh nak ramal hati manusia dan jangan lupa kita orang Islam penentuannya adalah Allah SWT. Buat apa kita hendak analisis banyak-banyak. Mengapa tidak kita kata yang menentang pada hari ini berbalik pula ke pangkal jalan menyokong saya. Oleh itu kita tunggu 24 Mac. Jangan pandang sebelah saja, mana kita nak tahu yang menyokong Shahrizat itu akan terus menyokong dia.

Tindakan terlalu beria-ia untuk terus mempertahankan jawatan akan dilihat Tan Sri seorang yang gila kuasa?

RAFIDAH: Kalau gila kuasa bertanding teruslah dari awal, buat apa nak buat pelan peralihan kuasa. Cuba orang yang buat analisis fikir. Kalau gila kuasa tak tersentuh di kepala saya nak buat pelan peralihan.

Benarkah dakwaan bahawa pelan peralihan yang dilakukan adalah langkah Tan Sri untuk menghalang pemimpin tertentu bertanding?

RAFIDAH: Saya tidak meragui sesiapapun hendak masuk Wanita tetapi saya tahu kalau ada orang berlawan naib ketua dan ketua serentak, kita sesama sendiri akan bercakaran. Saya cuma syorkan peralihan kuasa, kalau tak bersetuju cakap, boleh kita batalkan tak ada masalah, ini bukan benda yang termaktub, kalau dari awal kata ini tidak elok dan tidak perlu dilakukan, semua boleh bertanding, tidak menjadi masalah. Cuma saya mengingatkan ini situasi luar biasa, kalau UMNO gagah perkasa dan menang di semua tempat, kita tidak cakap tentang peralihan kerana pada masa itu peralihan pucuk pimpinan pun tidak akan berlaku.

Ada kawan-kawan kata kenapa nak buat peralihan, teruskan saja. Saya kata saya insaf, saya ni 65 tahun, Shahrizat pun kata dia dah umur 55, dalam exco pun dia kata, sudah jadi naib ketua selama lapan tahun, bila begitu saya pun terasa juga. Saya dengar juga ada segelintir Wanita kata buat apa nak sokong kak Rafidah, dia bukan menteri lagi. Baru-baru ini seorang ketua Wanita bahagian menganggap saya Quran buruk, bila dah macam itu saya pun insaflah, demi parti saya akan buat kerja enam bulan dan setelah semuanya disusun dengan elok maka saya akan serahkan jawatan.

Kenapa awal-awal Tan Sri menamakan Shahrizat sebagai pengganti, apakah kerana beliau Naib Ketua atau memang layak menjadi Ketua Wanita?

RAFIDAH: Sebab dia naib ketua, saya biasanya tak nak melangkah bendul, itu tradisi dalam UMNO, kena ikut tradisi UMNO. Tambahan pula dia pun kata dia dah lapan tahun jadi naib ketua, memang tradisi kita.

Tidakkah tindakan menamakan Shahrizat adalah satu perbuatan menghalang demokrasi kerana ia akan menyekat orang lain untuk bertanding?

RAFIDAH: Memang betul, tetapi perkara ini dipersetujui kerana keadaan UMNO yang sekarang ini gawat. Semasa tidak gawat dulu saya ditandingi Dr. Siti Zaharah dan kalah, tak ada masalah. Cuba fikir senario yang lebih besar, jangan tengok jawatan ketua, tengok dalam konteks UMNO dan negara. UMNO tergugat hari ini percayalah cakap saya. Saya dah cakap, Shahrizat sendiri fikirlah, Lembah Pantai pun dia kalah, saya cakap dengan ikhlas sebab saya risau, satu kerusi Parlimen kalah, kurang satu majoriti kita di Parlimen. Hasrat kita ialah hendak menang balik, untuk itu kenalah tumpu pada kerja bukan kepada keadaan memangku tak memangku.

Bagaimana pula hubungan Tan Sri dengan Kamilia yang kini sudah pasti akan menjadi Naib Ketua Wanita?

RAFIDAH: Saya dan beliau tidak ada apa-apa masalah. Kamilia adalah Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar, malah beliau turut mencalonkan saya. Oleh itu tidak perlu kita membuat tafsiran sama ada hubungan saya dan beliau akan renggang atau tidak. Semua pemimpin dan ahli Wanita adalah anak buah saya, cuma yang saya tidak tahu ialah perasaan mereka terhadap saya.

Kalau menang, adakah ia bererti Tan Sri akan terus memimpin Wanita?

RAFIDAH: Sebelum ini, saya sudah membuat tawaran untuk berkhidmat sehingga Jun dan menyerahkan jawatan berkenaan secara elok kepada pengganti saya, tetapi saya dicabar justeru saya perlu bertanding dan kalau menang ia melibatkan tempoh sepenggal.

Keputusan bertanding juga menunjukkan Tan Sri ingin terus berkuasa dalam Wanita?

RAFIDAH: Ini bukan keinginan saya, ia keinginan orang hendak melawan saya. Sampai saat akhir saya tidak bercakap sepatah pun, saya masih dengan pelan peralihan. Apabila keluar kenyataan kata nak lawan saya. Ini maknanya nak rebut jawatan bukan nak buat kerja, jadi sungguhpun lutut saya baru berganti lutut besi, saya gagah juga, jadi tak terdesaklah dalam enam bulan hendak buat kerja. Bolehlah kita phase out lepas ini insya-Allah kalau menang, kalau tak menang itu kuasa tuhan. Kita bertanding.


Bukan mengingkari janji

MINGGUAN: Apa komen Datuk Seri apabila dianggap ingkar dengan keputusan Wanita UMNO apabila menolak pelan peralihan kuasa?

SHAHRIZAT: Pada 4 Ogos lalu, semasa program Pemimpin Bersama Wanita yang dirasmikan oleh Presiden parti, satu pelan peralihan jawatan untuk wanita telah diumumkan oleh Tan Sri Rafidah Aziz. Nawaitu pelan itu ialah pertama, untuk menentukan Wanita UMNO stabil supaya pelan peralihan Presiden kepada Timbalan Presiden berjalan dengan lancar pada 2010. Nawaitu kedua ialah untuk menentukan tidak ada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Nawaitu ketiga ialah untuk menentukan perpaduan sedia wujud dalam Wanita UMNO. Saya setuju dengan pelan peralihan atas dasar yang murni itu.

Allah SWT telah memakbulkan kesemua nawaitu peralihan itu. Untuk mencapai matlamat, maka pelan itu perlu dipercepatkan hanya tiga bulan sahaja kepada bulan Mac sempena Perhimpunan Agung UMNO. Keputusan saya untuk bertanding kerana apabila pencalonan dibuat saya insaf bahawa pada akhirnya tiada sesiapa yang mampu atau patut buat keputusan untuk orang lain. Ada wanita yang gembira dengan pelan peralihan tersebut dan ada pula merasakan hak mereka tidak dihormati. Mereka mahu hak mereka dikembalikan kepada peringkat akar umbi dan tidak memaksa mereka untuk terikat kepada persetujuan di antara Rafidah dan saya.

Pernahkah pelan peralihan ini dirunding sebelum ini?

SHAHRIZAT: Ketika Rafidah berehat di rumah selepas pembedahan lutut, saya mengunjunginya dan beliau ada menyatakan sedang fikir pelan peralihan. Saya segan nak bertanya kalau nak alih kepada siapa dan bila. Kebiasaannya saya dengar sebab dia bos saya. Kita daripada generasi yang lama, kita tidak menyoal. Saya dengar mungkin pada 2010 dan jawatan itu akan diberikan kepada saya tetapi saya tidak bertanya atau membincangkannya.

Selain itu apa yang perlu difahami, semasa saya bersetuju pelan peralihan itu, senario politik berbeza kerana ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan akan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 manakala Perhimpunan Agung UMNO ditetapkan berlangsung pada Disember tahun ini.

Persoalannya, kalau ada bantahan atau rasa tak puas hati kenapa ia tidak dibangkitkan awal-awal lagi, kenapa ia dibuat selepas pencalonan?

SHAHRIZAT: Mungkin ini sukar untuk orang luar mendalami hubungan saya dengan Rafidah. Ini sebenarnya bukan hanya berlandaskan hubungan emosi. Saya tak kenal ketua lain selain Rafidah dan buat seketika, Datuk Dr. Siti Zaharah. Saya sentiasa meletakkan diri sebagai Naib Ketua kepada Rafidah dan apa juga pendapat, kemahuan Rafidah, saya ikut. Sebab itu selama saya jadi Naib Ketua, keadaan aman damai, sebab kita ada satu ketua.

Datuk Seri memang terima pelan peralihan itu?

SHAHRIZAT: Selepas pelan peralihan itu diumumkan dan mesyuarat exco mengesahkannya selepas itu, saya memang terima pelan tersebut sebab atas nawaitu yang murni itu dan senario politik yang Presiden akan mengalihkan jawatan kepada Timbalan Presiden pada 2010. Kalau kita tengok dari segi undang-undang pun persetujuan saya berasaskan tiga fakta (nawaitu) itu, tetapi kalau saya setuju pun, pada akhirnya kalau Wanita bahagian tak setuju, tiada apa yang kita boleh buat, sebab matlamat akhirnya terletak dalam tangan perwakilan. Perwakilan tidak terikat, hanya Rafidah dan saya serta mungkin Exco terikat.

Saya terikat nawaitu itu sebab itu saya beranikan diri untuk mengesyorkan kalau Rafidah boleh buat adjustment, maka kalau bulan Mac, ketiga-tiga nawaitu berkenaan akan jadi kenyataan. Selepas itu apabila ada mesyuarat exco ramai yang tanya kenapa saya tidak stand up. Di sinilah perhubungan antara saya dan Rafidah menjadi satu faktor. Memang susah untuk saya nak berbincang. Saya tidak mungkir janji tetapi berpaksikan tiga nawaitu murni itu dan jika peralihan berlaku pada Mac ketiga-tiga nawaitu itu akan menjadi kenyataan tapi kalau kita tidak buat ubah suai dan peralihan ditetapkan juga pada Jun maka akan ada pertandingan.

Apa reaksi Datuk Seri apabila Tan Sri Rafidah mendakwa Datuk Seri ingkar terhadap persetujuan yang dicapai mengenai pelan peralihan itu?

SHAHRIZAT: Apabila dikatakan saya mungkir janji, itu tidak tepat, janji saya berpaksikan nawaitu pelan peralihan.

Kita kena lihat, bahagian saya beri pencalonan kepada Rafidah dan ramai daripada mereka mahu perubahan untuk menerima pelan peralihan. Kalau betul-betul kenal mungkin orang tak tahu siapa dia, tapi kita tahu siapa yang mahu perubahan. Dalam 117 pencalonan itu walaupun ramai yang mahu perubahan tapi pada akhirnya kita akur pada pelan peralihan. Namun bahagian-bahagian Wanita membuat keputusan mereka sendiri, tidak mampu kita untuk menunjuk ajar kepada Wanita di peringkat akar umbi, ada kebangkitan Wanita di peringkat akar umbi yang mahu menyuarakan pendapat dan hak mereka. Memang ada rasa suara hati, jadi kenapa suara mereka hendak diperkecilkan.

Pelan peralihan gagal, maka akan ada pertandingan, adakah suara pencalonan ini tulen atau berdasarkan faktor lain?

SHAHRIZAT: Sebenarnya apa yang berlaku ramai ikut pelan peralihan. Sebanyak 90 peratus sokong pelan peralihan yang mahu perubahan pun beri sokongan kepada pelan peralihan. Pencalonan itu adalah bayangan, bagi saya itu bukan muktamad. Dari segi suara exco pun tujuh exco tidak pilih pelan peralihan. Memang saya nampak ada belah bahagi, ada yang mahu Jun ada yang mahu Mac.


Bermakna pencalonan tidak mencerminkan keputusan pada Mac nanti?.

SHAHRIZAT: Pencalonan tidak mencerminkan hasrat yang sebenarnya. Kita tidak boleh ketepikan pencalonan itu, ia hanya bayangan sahaja tetapi tidak muktamad.

Dengan adanya pertandingan dan perpecahan dalam Wanita mungkin tidak dapat dielakkan

SHAHRIZAT: Saya memang risau, tetapi saya yakin kita orang politik, mana ada parti politik yang tidak ada pertandingan. Bertanding adalah satu hakikat dalam berpolitik. Pada saya yang menjadi masalah ialah apa yang akan berlaku antara sekarang hingga Mac.

Sebab itu semasa kempen, kita mesti berhati-hati. Saya hormat Rafidah, saya akan tetap ikuti program Wanita. Cuma saya minta berhati-hati dalam pertuturan sebab kadang kala kalau tidak berhati-hati kita akan menyinggung perasaan orang lain. Jangan nanti antara Rafidah dan saya tak ada apa-apa tetapi pihak lain pula bermusuhan.

Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan Tan Sri sekarang?

SHAHRIZAT: Saya telah berazam walau apa pun yang terpaksa saya harungi, Rafidah adalah orang yang saya hormat. Beliau pangkat kakak dan ketua saya. Sebab itu jangan kita memfitnah, kita mesti menghormati.

Sebagai peguam, saya mampu terima pendapat yang berbeza. Itu lumrah hidup saya, sebab itu saya ambil masa untuk buat keputusan, saya dengar pendapat, keluhan orang lain dahulu. Kalau kita tak setuju, kita tak setuju secara berhemah tak payah personal, guna kata-kata kesat.

Tidakkah Datuk Seri bimbang wujud puak-puak di dalam Wanita UMNO?

SHAHRIZAT: Secara realistiknya akan wujud `kem’ buat sementara dari sekarang hingga Mac. Sebab itu saya kata kalau kita jaga bahasa kita, lepas Mac sesiapa juga yang jadi ketua mesti merapatkan balik barisan.


Dengan perpecahan yang dijangka berlaku, apakah ada kemungkinan Datuk Seri dan Rafidah melakukan sesuatu supaya perpecahan itu tidak ketara, berkompromi misalnya?

SHAHRIZAT: Dalam hidup ini macam-macam boleh berlaku, dalam politik pun begitu. Saya berdoa menjelang Mac ini satu penyelesaian terbaik untuk Wanita dapat kita capai. Sebenarnya Allah telah memberi satu cara penyelesaian pada Mac yang terbaik dengan jawatan Ketua dan Naib Ketua tak perlu dipertandingkan.

Saya masih menaruh harapan yang tinggi bahawa penyudahnya adalah satu penyudah yang positif.

Ada tanggapan wujud pakatan antara Datuk Seri dan Kamilia apabila pelan peralihan ditolak selepas pencalonan membolehkan Kamilia menang tanpa bertanding. Ia bertujuan menafikan peluang exco lain untuk bertanding Naib Ketua?.

SHAHRIZAT: Apa yang berlaku ialah Kamilia memang dah tawar diri awal tapi oleh kerana kita nak push untuk pelan peralihan, saya nampak beliau satu ketika, tak minat, tetapi apabila ada pencalonan untuk Datuk Azalina, nama Datuk Kamilia naik semula dan sebenarnya kalau ada calon wanita lain yang minat dia boleh naik masa itu.

Adakah mungkin mereka yang tidak menawarkan diri bertanding kerana menghormati pelan peralihan itu?

SHAHRIZAT: Saya juga hormat pelan itu, tetapi pelajaran kepada saya dalam politik, mungkin 50 peratus atau 60 peratus ahli boleh dengar cakap kita, yang lain tak dengar. Mesej yang hendak mereka hantar perlu kita terima dan jangan menidakkan hak orang lain walau di mana pun mereka berada. Kita tidak boleh anggap bahawa 100 peratus akan setuju dengan keputusan kita. Siapa kita yang hendak paksa 100 peratus ahli ikut cakap dan arahan kita. Naluri manusia jangan kita tekan sangat dengan tidak menghormati pendapat dan perasaan orang lain.

Rafidah didakwa mahu mempertahankan jawatan ketua kerana mahu kembali dalam Kabinet, dakwaan yang sama turut ditujukan kepada Datuk Seri.

SHAHRIZAT: Itu tidak menjadi matlamat. Saya sudah 28 tahun dalam UMNO, saya dah tengok naik turun seseorang pemimpin. Sebenarnya selain daripada ikhtiar, kerja-kerja perjuangan pada akhirnya Allah menentukan. Kes Datuk Kamilia, ini betul-betul menunjukkan kita hanya boleh merancang, akhirnya Kamilia akan jadi Naib Ketua dengan tidak ditandingi. Pada saya ini bukti walau macam mana kita berpolitik, merancang menaikkan atau menjatuhkan seseorang, kalau tak ada rezeki tak ada siapa boleh mengatasi qadak dan qadar.

Datuk Seri boleh bekerjasama dengan Kamilia?

SHAHRIZAT: Secara prinsipnya saya lebih selesa bila saya pandang ciri-ciri positif seseorang sebab saya seorang yang optimis. Saya percaya Datuk Kamilia akan jadi Naib Ketua yang baik. Beliau telah banyak menyumbang kepada Wanita, seorang yang pendiam, tapi banyak berkorban masa, idea dan rajin bekerja. Beliau tidak banyak politiking tapi apabila diamanahkan kerja ia dijalankan dengan baik.

Pertandingan kali ini dianggap kalah mati, sebab calon yang tewas akan hilang segala-galanya. Datuk Seri sedia hadapi segala kemungkinan?

SHAHRIZAT: Itu semestinya, pada saya yang lebih mustahak ialah perjuangan Wanita UMNO, bukan diri saya. Saya nak tengok Wanita UMNO dihormati, masih relevan mempunyai misi yang baru, kalah menang bukan satu masalah bagi saya.

Kalau tewas bagaimana Datuk Seri hendak laksanakan pelan strategik bagi mengukuhkan Wanita?

SHAHRIZAT: Di mana saya berada saya harap isu wanita dan keluarga dekat di hati saya. Melalui Sekretariat Pembelaan dan Memperkasa Wanita Islam (Senada) saya akan berusaha untuk menentukan ia menjadi suara wanita Islam di negara ini dan saya juga berharap ia mampu menjadi suara penyatuan wanita Islam tidak kira apa juga ideologi politik dan latar belakang mereka.

Apakah mungkin tanpa pelan peralihan, pencalonan yang diterima Rafidah akan lebih banyak?

SHAHRIZAT: Mereka yang betul-betul ikut perkembangan di peringkat bahagian, akar umbi tahu keadaan sebenarnya, bukan untuk saya buat kenyataan. Kalau betul-betul kita tahu naluri dan cita rasa Wanita kita tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Dalam kenyataan sebelum ini Datuk Seri ada menyatakan Wanita perlu berani bawa perubahan dan pembaharuan, kenapa?

SHAHRIZAT: Suka atau tidak kita mesti terima hakikat kita menghadapi satu keputusan yang mengejutkan pada pilihan raya baru-baru ini. Saya seorang calon yang tewas, saya banyak belajar apa yang berlaku.

Wanita UMNO mesti wujudkan satu visi dan misi serta Pelan Strategik dan Pelan Tindakan sebagai asas perjuangan kita masa kini. Kita perlu perubahan dan pembaharuan di dalam cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab supaya kita terus relevan di dalam konteks politik hari ini dan masa hadapan. Ini adalah realiti Wanita UMNO.

Sebenarnya, Wanita UMNO sarat dengan pengalaman, potensi, dedikasi dan komitmen untuk kembali semula menjadi suara utama bukan hanya untuk wanita Islam tetapi untuk keseluruhan rakyat jelata.

Saya minat untuk menentukan isu-isu wanita dan keluarga diperjuangkan dengan cara lebih terancang. Suara kita mesti tegas memperjuangkan supaya lebih ramai wanita diberi tempat di dalam membuat keputusan sama ada dalam parti, kerajaan atau luar kerajaan sejajar dengan polisi sekurang-kurangnya 30 peratus wanita mesti ada ditempat membuat keputusan yang diperjuangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tempoh hari.

Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diberi tempat di arus perdana parti dan bukan hanya terkongkong dalam sayapnya sahaja di cawangan, bahagian, negeri, nasional. Jika kita ada perancangan yang praktikal, baik dan teliti, saya percaya kaum bapa di dalam UMNO akan bersama-sama kita di dalam perjuangan ini kerana mereka juga tidak mahu Wanita UMNO ketinggalan zaman.

Kita juga kena eratkan lagi kerjasama dengan Puteri selaku ibu dan kakak supaya jika wujud apa-apa isu yang perlu bimbingan dan penyelesaian di antara kedua sayap ini, biarlah ia dijalankan dalam satu suasana yang positif.

Suntikan semangat perjuangan yang baru ini untuk Wanita UMNO mesti bermula di peringkat akar umbi. Kepimpinan Wanita di peringkat cawangan dan bahagian mesti terus diupayakan (empower) dengan hala tuju dan program yang jelas dan nyata. Saya percaya jika kita bersatu kita semua mampu untuk menangani cabaran politik masa kini.

Berdasarkan kepada reaksi yang diterima setakat ini, adakah Datuk Seri yakin mampu mencapai kemenangan dalam pemilihan kali ini?

SHAHRIZAT: Bagi saya dalam sesuatu pertandingan, semua calon yang bertanding mempunyai peluang yang sama.

- Mingguan Malaysia
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url