Bandar bersejarah Kuala Selangor

Penginapan jimat dan selesa, makanan menyelerakan dan destinasi yang berdekatan kota antara jawapan 'orang kita' apabila diajukan soalan mengenai percutian hujung minggu mereka.

Jika anda termasuk dalam golongan yang dimaksudkan, apa kata luangkan masa mengunjungi Kuala Selangor, bandar bersejarah yang pernah ditawan Belanda ketika usaha peluasan empayar oleh kuasa penjajah asing itu pada 1784.

Selain nilai sejarah, bandar kecil ini turut memiliki tarikan pelancongan antarabangsa seperti Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan hidangan makanan laut yang murah.

Destinasi ini hanya terletak 40 kilometer perjalanan dari ibu kota.



Taman Alam Kuala Selangor

Rata-rata pengunjung yang pertama kali sampai ke bandar kecil ini pasti mahu terus mengunjungi Bukit Melawati yang menjadi antara mercu tanda utama di bandar Kuala Selangor.

Bagaimanapun, sebelum meneroka tarikan di atas puncak, apa kata terlebih dulu singgah di Taman Alam Kuala Selangor yang pintu masuknya terletak bersebelahan stesen trem Bukit Melawati.

Taman Hutan seluas 296 hektar ini bukan saja memainkan fungsi penting dalam mengekalkan ekosistem, malah menjadi kediaman semula jadi kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Landskap hutan hujan tropika dan hutan paya bakau turut menarik kehadiran 156 burung.

Daripada angka itu, 57 adalah spesies penghijrah dari Russia dan Siberia, yang singgah sebentar di taman ini antara September hingga April, setiap tahun.

Antara spesies burung tempatan yang menjadi penghuni tetap taman termasuk Burung Bakau, Bangau, Ketitir, Pekaka, Raja Udang, Pucong, Serandau dan Helang Bahu Hitam.

Burung yang datang berhijrah pula ialah daripada jenis Purple Herow, Great Eagle, Tiger Shrike, Brown Shrike, Arctic Shrike, Warbler dan Purple Swamphen.

Pengunjung boleh meneroka keindahan taman ini dengan mengikuti laluan pelantar konkrit di samping meneliti fungsi dan kegunaan tumbuhan hutan dengan bantuan pemandu pelancong.

Di tengah taman, anda akan dihidangkan dengan pemandangan tasik buatan yang menjadi tumpuan siput sedut, siput roman dan siput beliung.

Selain itu, ada menara tinjau untuk menyaksikan kehadiran burung, biawak dan haiwan pemangsa lain yang berkunjung ke tasik ini bagi mendapatkan sumber air.

Pengunjung yang gemarkan cabaran juga boleh memilih sama ada untuk bermalam di chalet atau berkhemah di tapak disediakan oleh pengurusan.

Bagaimanapun, anda dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran ratusan kera daripada spesies Makonka dan Long Tail Silver Leaf yang menjadi penghuni setia taman.

Ini kerana ada kalanya, hidupan yang menjadikan pucuk kayu dan buah hutan ini gemar merebut makanan atau barangan peribadi pengunjung dalam sekelip mata.



Warisan sejarah Bukit Melawati

Bukit Melawati yang berdepan pemandangan indah Kuala Selangor dan Selat Melaka ini memiliki sejarah yang panjang dan amat rapat dengan kesultanan Melayu Melaka.

Mengikut sejarah, kota ini pernah ditakluki Belanda pada 1784 selepas kuasa penjajah itu menewaskan Portugis di Melaka.

Belanda kemudian memusnahkan kota lama dan menggantikannya dengan istana Eropah sebelum memberi nama baru, Fort Atlingsburg, sempena nama komander mereka, Gabenor Jeneral Alting.

Lokasi strategik menjadikan kota ini sering kali digempur oleh beberapa kuasa besar utama termasuk British dan Kesultanan Selangor yang mahu menguasai bukit ini.

Pengunjung boleh memilih sama ada untuk memandu ke atas bukit atau trem berdekatan Masjid Lama Kuala Selangor untuk ke puncak dengan harga RM2 (dewasa) dan RM1 (kanak-kanak).

Dalam perjalanan menuju ke puncak, anda boleh melihat tiga makam Sultan Selangor, runtuhan kota lama dan batu hampar yang menjadi tempat pesalah menjalani hukuman pancung.

Bagaimanapun, jangan terkejut apabila disambut dengan ratusan lotong apabila sampai ke puncak. Pengunjung boleh memberikan kacang panjang kepada haiwan ini yang boleh dibeli daripada penjual.

Luangkan masa untuk menikmati pemandangan indah di puncak yang turut menempatkan rumah pegawai daerah British dan rumah api yang masih berfungsi sebagai panduan kepada kapal.

Ada juga menara tinjau yang digunakan pihak berkuasa agama untuk melihat anak bulan bagi menentukan tarikh mula puasa, hari raya dan permulaan awal Zulhijjah.



Kelip-kelip Kampung Kuantan

Tarikan pelancongan utama Kuala Selangor ini sudah lama menarik kunjungan pelancong asing terutama dari Asia Barat, Taiwan, Jepun dan China.

Menjadi satu daripada dua taman kelip-kelip yang ada di dunia, kunjungan anda ke pekan ini tidak lengkap jika tidak meluangkan masa mengunjunginya.

Istimewanya, sebahagian besar kelip-kelip yang boleh dijumpai di Kuala Selangor daripada spesies Pteroptyxtener yang mengeluarkan kerlipan cahaya tiga kali sesaat.

Kelip-kelip jantan dikatakan mengeluarkan cahaya lebih terang berbanding kelip-kelip betina untuk menarik perhatian pasangannya.

Tidak sukar untuk menyaksikan keajaiban alam ini. Anda boleh memandu terus dari tengah bandar dengan mengikuti papan tanda Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan.



Makanan laut dan kraftangan

Ada banyak restoran makanan laut di perkampungan nelayan di Pasir Penampang, terletak berhampiran kawasan jambatan yang merentangi Sungai Selangor.

Selain menawarkan masakan kampung dengan harga amat berpatutan, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai produk makanan laut dan makanan segar di jeti berhampiran.

Jika tidak pun, anda boleh menikmati makanan Barat di rumah rehat atau restoran di kaki Bukit Melawati yang menyediakan selera Melayu seperti nasi campur, ikan bakar dan nasi ayam.

Sebelum pulang, pastikan anda singgah di kedai kraftangan di Kampung Permatang Kuala Selangor.

Pelbagai cenderahati diperbuat daripada jut yang cantik boleh dibawa pulang sebagai buah tangan.

Selain produk kraftangan, orang ramai yang mahu mendapatkan bekalan ikan segar boleh berkunjung ke Pasar Basah Pasir Penambang berhampiran.

Terlanjur ke sini, jangan lupa mencari sagun beras tradisional Kuala Selangor, makanan tradisional yang tidak terdapat di tempat lain.



Penginapan

De Palma Inn Kuala Selangor

Tel: 03-32897070

http://depalmahotel.com



Firefly Park Resort

Tel: 03-3289-1208

Faks: 603-3289-1234

http://www.fireflypark.com/



Rujukan percutian

Tourism Malaysia

Tel: 03-2615 8188/ Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207

Talian pelancongan: 1-300-88-5050

Emel: enquiries@tourism.gov.my

www.tourism.gov.my



Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Selangor

Tel: 03 - 5511 1122 / Faks: 03 - 5513 1199

www.tourismselangor.gov.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url