Hidupan aneh di Antartik




Saintis yang menjalankan kajian dan bancian 10 tahun terhadap hidupan laut menghasilkan laporan 'Census of Marine Life,' menemui pelbagai misteri lautan antaranya kewujudan lokasi pertemuan rahsia jerung putih di timur Lautan Pasifik selain spesies alga hidup membiak pada suhu -25 darjah Celsius di Artik.

Dalam laporan yang didedahkan baru-baru ini, penyelidik turut menemui bukti genetik kebanyakan spesies sotong kurita moden sebenarnya mengalami evolusi daripada spesies hidupan purba yang hidup di Antartika lebih 30 juta tahun lalu.

"Kami sedang mendekati alam lautan daripada mikrob kepada paus," kata saintis kanan bagi bancian 2007-2008, Ron O'Dor. Bancian itu disertai sehingga 2,000 saintis daripada 82 negara yang menjalankan kajian selama 10 tahun untuk membantu melindungi hidupan laut.

Bancian bernilai AS$650 juta (RM2.3 bilion) itu dijangka siap pada 2010 dan bakal mengenal pasti sekitar 230,000 spesies marin. Hingga kini, 5,300 spesies baru dari ikan sehinggalah terumbu karang dikenal pasti dan 110 daripadanya disahkan spesies baru.

Antara penemuan menarik kumpulan saintis itu adalah jerung putih dari merata tempat sanggup berenang ribuan kilometer untuk menghabiskan enam bulan di antara Hawaii dan California yang digelar penyelidik sebagai 'Kafe Jerung Putih'.

"Pada masa ini, jerung jantan dan betina sering menyelam sedalam 300 meter," kata laporan itu. Tujuan jerung itu berkumpul di lokasi terbabit masih menjadi misteri tetapi penyelidik berpendapat ia mungkin membabitkan makanan atau pembiakan.

Antara penemuan lain adalah bukti genetik sesungut sotong kurita ketika ini menunjukkan ia berasal daripada spesies hidupan purba lautan dalam.

- Reuters
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url