IPKT dinaiktaraf sebagai Pusat Bahasa Inggeris
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pada masa ini kerja menaik taraf institut tersebut sedang berjalan mengikut jadual.
Menurut beliau, dengan wujudnya pusat tersebut akan memberi satu kelebihan terutama kepada guru di di Terengganu, Kelantan dan Pahang dalam meningkatkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
''IPKT merupakan Pusat Pengajian Bahasa Inggeris yang kedua selepas Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa Lembah Pantai di Kuala Lumpur.
''Melalui usaha menaik taraf itu juga institut berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dipertingkatkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Terengganu 2008 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong.
Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata, kementerian juga akan memperkenalkan model pembelajaran 'First Step' dalam usaha meningkatkan kemahiran mendengar, bercakap, membaca dan menulis bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
''Model pembelajaran dari Australia itu dilihat mampu memberi satu transformasi pembelajaran bahasa Inggeris baik dengan bermula di sekolah rendah.
''Sebanyak 1,000 sekolah di negara ini dikenal pasti untuk menggunakan model tersebut yang bermula pada awal Januari depan," ujarnya.
Selain itu, Razali menambah, kementerian juga akan menaikkan taraf sekolah bestari menggunakan sistem lima bintang seperti yang digunakan agensi perhotelan.
''Langkah itu adalah untuk memastikan sekolah tersebut setaraf dan setanding serta mampu bersaing dengan pendidikan di negara maju .
''Sebanyak 88 sekolah bestari di seluruh negara akan mendapat pengiktirafan tersebut menjelang akhir tahun ini,'' katanya.
Pada tahun ini ujarnya, sebanyak 58 sekolah bestari diberi pengiktirafan tersebut berbanding 25 buah pada tahun lalu.