Kaum pendatang patut hormat hak pribumi

Ingatan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah kelmarin mengenai betapa pentingnya komuniti pendatang di sesebuah negara menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah dan bermastautin, perlu direnung semua pihak. Seperti titah baginda, mereka sepatutnya mempunyai garis sempadan dalam mempersoalkan sesuatu perkara yang membabitkan hak seseorang individu untuk memilih cara hidup di negara tempat mereka berhijrah atau keperluan untuk mewujudkan sebuah masyarakat harmoni dan bersatu padu.

Oleh itu, dalam membuat pilihan, masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat berbeza perlu berpegang kepada pepatah 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.' Kita tidak menafikan wujud pelbagai polemik sejak kebelakangan ini mengenai pelbagai perkara yang dibangkitkan sesetengah pihak, sekali gus menimbulkan kegelisahan atau rasa tidak puas hati satu pihak lain. Contoh nyata adalah soal kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan negara.

Perkara ini sudah nyata dan jelas, tanpa perlu mana-mana pihak mempertikaikannya. Dalam sesebuah negara majmuk seperti Malaysia, setiap kaum tanpa mengira penduduk asal atau imigran hendaklah peka terhadap sensitiviti sesuatu kaum. Membangkitkan sentimen bersifat perkauman bukan saja boleh menjejaskan keharmonian, keamanan dan ekonomi negara.

Negara kita sebenarnya menjadi contoh terbaik bagaimana diaspora atau penghijrahan besar-besaran orang Cina, India dan kaum lain yang membawa kepada sebuah bangsa makmur dan majmuk. Hari ini semua mereka menjadi sebahagian daripada landskap negara ini. Secara umum, kemahuan dan keperluan pendatang di mana-mana negara adalah sama iaitu makanan, wang, pendidikan untuk anak dan kehidupan yang lebih bermakna, selain rumah dan perlindungan pada hari tua.

Mereka juga mahu diserapkan dalam komuniti yang lebih besar dan tidak dilayan sebagai orang asing. Namun, dalam pada itu, masyarakat juga perlu memelihara agama daripada diceroboh mereka yang akan memesongkan kebenarannya dengan menghapuskan tindakan radikal dan ekstremis. Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab untuk menangani ekstremis dan golongan membangkitkan sentimen perkauman ini pada bahu kerajaan semata-mata.

Jika semua pihak bertindak rasional dan tidak mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi perkauman, sudah tentu kita dapat hidup lebih selesa dan saling memahami. Seperti titah Raja Nazrin, ciri-ciri kehidupan sebuah negara demokrasi ialah setiap individu dibenarkan membuat pilihan sama ada mahu menyesuaikan diri dan diserap dalam masyarakat atau berdepan keadaan yang mereka akan terpinggir.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url