Lambaian Kaabah 1429H: 353 bakal haji Pantai Timur berlepas
Seramai 353 bakal jemaah haji dari Terengganu, Kelantan dan Pahang berlepas ke Madinah melalui penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menggunakan pesawat KT39 (MH8036) kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Warga emas, Che Tom Abdullah, 73, dari Kampung Batu Rakit di sini, adalah antara bakal jemaah yang teruja dengan kemudahan penerbangan terus dari LTSM ke Tanah Suci yang disifatkan sebagai memudahkan dan menjimatkan perbelanjaan.
"Kalau dulu bila setiap kali musim haji, jemaah dari Terengganu terpaksa bertolak awal dan bermalam di Kelana Jaya, tetapi sekarang semuanya mudah dan bagi jemaah yang sudah berusia macam saya, ia tentu satu yang cukup dinanti-nantikan," katanya yang ditemani isteri, Mek Ngah Jusoh, 71, dan anak lelakinya Che Mansor Che Tom, 38.
Penerbangan pertama kumpulan jemaah dari Pantai Timur itu yang mendaftar di Stadium Tertutup Gong Badak sebelum berlepas dari LTSM disempurnakan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.
Che Tom berkata, pemergiannya ke Tanah Suci kali ini adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan kerana sebelum ini pernah ditawarkan menunaikan haji pada 1999, tetapi terpaksa ditolak kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya.
"Penantian sejak 1999 itu cukup lama kerana Pak Cik sudah mula menabung untuk menunaikan haji sejak 1985 dengan menyimpan secara berdikit hasil jualan ikan. Alhamdulillah cita-cita kami termakbul, kami untuk menunaikan haji dengan ditemani anak," katanya.
Che Mansor berkata, selepas lebih 20 tahun menabung, cita-cita ibu bapa menunaikan haji termakbul dan apa yang diharapkan perjalanannya sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu selamat dan berjalan lancar.
Seorang lagi jemaah, Zulkahar Din, 42, dari Dungun, berkata pemergiannya menunaikan ibadat haji bersama isteri, Muzdalifah Osman, 39, cukup bermakna kerana anaknya yang berusia setahun setengah, Zuliskandar Zulkahar mengiringi mereka ke Tanah Suci kerana masih belum bercerai susu badan dengan ibunya.
"Memang Zuliskandar tak dapat ditinggalkan kerana dia menyusu badan jadi pemergian kami ke Tanah Suci kali ini terpaksa membawa sekali Zuliskandar," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Penyelidikan dan Pembangunan Tabung Haji, Shahruddin Abu Bakar, berkata jemaah yang berlepas dari LTSM diingatkan mendaftar awal iaitu sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu perlepasan bagi mengelak kesesakan dan masalah terutama dalam musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur ketika ini.
Katanya, yang paling penting jemaah dapat menjaga kesihatan sebagai persediaan kerana ketika ini cuaca di Madinah agak sejuk, manakala cuaca di Makkah mulai panas dan boleh mengganggu tahap kesihatan jemaah.