70,000 ibu tunggal di Kelantan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar, berkata tahap perceraian negeri ini adalah antara yang tertinggi di Malaysia dengan mencatatkan 6,000 ibu tunggal setahun.
"Mengikut perangkaan, pada 2006, seramai 14,000 pasangan berkahwin di Kelantan dan daripada jumlah itu, 2,000 pasangan atau 14 peratus berakhir dengan perceraian.
"Sehingga kini, ada kira-kira 70,000 ibu tunggal di Kelantan dan keadaan ini begitu membimbangkan kerajaan negeri sehingga kita memerlukan satu draf diwujudkan bagi mengatasi masalah berkenaan sekali gus membela masa depan mereka yang terbabit," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas perasmian penutup Seminar Rumah Tangga Berkat yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Mohd Amar Nik Abdullah, yang mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Balai Islam, Lundang, dekat sini, semalam.
Wan Ubaidah berkata, masalah perceraian yang semakin serius di negeri ini memerlukan satu draf khusus dirangka agar menjadi kaedah terbaik dalam usaha membela nasib ibu tunggal di seluruh negeri ini.
Katanya, draf berkenaan akan memperkemaskan undang-undang keluarga sedia ada dan akan membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) serta Mahkamah Syariah yang kini sedang dalam proses dan dijangka siap akhir tahun depan.
Beliau berkata, sistem perceraian ketika ini didapati tidak tegas dalam membela nasib ibu tunggal sehingga ada bekas suami yang berjaya melepaskan diri daripada membayar nafkah walaupun sudah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah.
"Ada ibu tunggal kini tinggal sebatang kara akibat disisihkan keluarga kerana perkahwinan tidak mendapat restu, menyebabkan mereka tidak ada tempat tinggal untuk berteduh selepas berpisah.