Rapat semula ahli elak perpecahan parti
Katanya, perpecahan yang berlaku berikutan pertandingan merebut jawatan tertinggi parti sudah menjadi perkara biasa, tetapi kemenangan bukanlah sesuatu yang boleh dibangga dan diraikan.
"Sebagai seorang ahli Umno, calon yang kalah tidak seharusnya merajuk dan menjauhkan diri, sebaliknya kita dengan penuh keinsafan menyeru mereka agar memainkan peranan bersama untuk menyatukan keretakan yang berlaku terutama peringkat akar umbi.
"Calon yang menang pula tidak sepatutnya menjadi bos dan mengarahkan supaya melakukan itu dan ini... sebaliknya perlu memainkan peranan untuk mencantumkan semula perpecahan yang berlaku," katanya ketika ditemui selepas diumumkan menang jawatan ketua Umno bahagian pada pemilihan sempena mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuala Nerus, di sini, kelmarin.
Mohd Nasir yang menawarkan diri bertanding untuk mengekalkan jawatan sebagai ketua Umno bahagian menewaskan dua pencabarnya iaitu bekas Naib Ketua Umno bahagian, Basir Ismail dan bekas ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian, Azmi Abdul Rahman.
Pada pemilihan mesyuarat perwakilan bahagian Kuala Nerus semalam, Mohd Nasir memperoleh sebanyak 225 undi, Basir (202) dan Azmi (109 undi).
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said pula menang untuk jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian menewaskan pencabarnya, Ismail Nik dengan majoriti 231 undi.
Abdul Rahin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Teluk Pasu memperoleh 374 undi, manakala Ismail hanya mendapat 143 undi.
Untuk jawatan Naib Ketua Umno bahagian, Hassan Ali menang percuma apabila Adun Tepuh, Muhammad Ramli Nuh yang sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan itu dan memperoleh 21 pencalonan menarik diri pada saat akhir.
Mohd Nasir berkata, musim berkempen serta pemilihan sudah berakhir dan ahli sudah membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang akan menerajui bahagian.
"Saya menyeru ahli ahli akar umbi supaya bersatu semula demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara," katanya.