Top Ad 728x90

Sediakan 'payung' sebelum diberhentikan kerja

Sebagai persediaan untuk menghadapi keadaan kehilangan pekerjaan disebabkan kegawatan ekonomi, anda perlu membuat perancangan awal (sebelum diberhentikan kerja) dengan mengambil langkah-langkah yang disebut di bawah ini:

1. Sediakan Tabung Kecemasan. Dengan gaji yang sedia ada, ketepikan jumlah wang yang secukupnya untuk menampung perbelanjaan kehidupan selama tiga hingga enam bulan yang akan datang. Ini termasuk perbelanjaan untuk membayar pinjaman rumah, kereta, makanan, persekolahan anak-anak dan lain-lain bil bulanan yang perlu dijelaskan.

2. Berbelanja mengikut kemampuan. Mulakan amalan berjimat cermat dan jangan berbelanja mengikut nafsu. Jika anda sukakan sesuatu barang seperti tas tangan atau kasut yang sedang dijual dengan harga murah tetapi anda tidak memerlukannya, jangan sekali-kali melayan nafsu tersebut!

3. Gunakan kad kredit dengan berhati-hati. Jika ada ura-ura bahawa organisasi anda akan membuang pekerja sebagai langkah mengurangkan kos operasi, anda harus berhati-hati di dalam penggunaan kad kredit. Ini bukan masanya untuk menambah hutang yang membebankan apatah lagi dengan kadar faedah pembayaran balik yang begitu tinggi.

4. Semak semula perbelanjaan bulanan. Senaraikan segala hutang-hutang dan bil-bil yang perlu dibayar setiap bulan. Lihat kepentingan perbelanjaan bulanan anda. Jika terdapat perbelanjaan yang tidak begitu penting, keluarkanlah ia dari senarai dengan menamatkan perkhidmatan tersebut.

5. Gunakan wang yang ada dengan sebaik mungkin. Ini bukan masa yang sesuai untuk membazirkan wang ringgit anda. Gunakan wang hanya untuk perbelanjaan yang benar-benar penting. Aktiviti seperti melancong ke luar negara, membeli-belah barang kemas dan barangan berjenama yang mencecah ratusan atau ribuan ringgit eloklah dielakkan pada waktu ini.

6. Luaskan rangkaian anda. Selagi anda masih berada di dalam alam pekerjaan, ambil peluang tersebut untuk meluaskan rangkaian pergaulan, terutama dengan pelanggan-pelanggan organisasi atau sesiapa sahaja yang berpengaruh yang boleh membantu anda. Perkenalkan diri, beritahu tugas yang anda lakukan di dalam organisasi anda dan hulurkan kad perniagaan (business card) secara spontan. Minta kad perniagaan mereka, jika mereka tidak keberatan untuk memberi. Ini akan memudahkan anda menghubungi mereka, jika keadaan memerlukan anda berbuat demikian.

7. Teruskan menimba ilmu. Sesetengah organisasi amat mengambil berat tentang kualiti pekerja dan menawarkan beberapa program ilmuan kepada pekerja yang berminat untuk menimba ilmu sambil bekerja. Jika organisasi anda ada menawarkan program seperti ijazah di dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan organisasi anda, jangan lepaskan peluang tersebut. Pilihlah bidang yang anda minati dan tambahkan lagi ilmu pengetahuan anda. Tindakan ini dapat membantu anda menguatkan lagi resume anda apabila keadaan mendesak anda untuk mencari pekerjaan baru.

8. Mula cari pekerjaan baru. Tidak semua organisasi bertindak untuk mengurangkan tenaga kerja. Di dalam keadaan tertentu seperti ingin mengembangkan atau memperbaiki perkhidmatan yang sedia ada atau mencari pengganti pekerja yang telah berhenti kerja, ada sesetengah organisasi yang masih memerlukan tenaga kerja baru. 'Buka mata dan telinga' dengan perkembangan sebegini dan jika kekosongan tersebut menepati kemahiran yang anda miliki, jangan buang masa. Teruskan dengan permohonan anda, apatah lagi jika tawaran tersebut lebih baik daripada apa yang anda terima sekarang.

9. Luaskan skop mata pencarian. Pencarian pekerjaan anda tidak harus terhad di bumi Malaysia sahaja. Jika anda mempunyai kenalan yang bekerja di luar negara, rajin-rajinlah bertanya tentang peluang pekerjaan di sana. Jika tiada, layari sahaja internet untuk mencari peluang pekerjaan yang terdapat di negara-negara yang sedang hebat membangun seperti Abu Dhabi, Dubai, Qatar dan sebagainya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90