Wanita Ibarat Rama-Rama

Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kene jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.

Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya. Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya. Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari kita apabila kita menangkapnya. Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi.

Rama-rama ibarat wanita. Wanita indah untuk disentuh, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari tubuhnya. Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna. Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya. Ia tidak akan dipedulikan lagi apabila corak dan warnanya mulai pudar. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya, dan harga wanita terletak pada maruah dan harga dirinya.

Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan kehidupnya. Ia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang telah mengikatnya itu. Tiada sesiapa yang mempedulikanya sepanjang ia berada di dalam kepompong, dan ia lebih dibenci tatkala ia menjadi ulat. Ia terpaksa menempuh pelbagai kesulitan hidup untuk bergelar rama-rama. Terpaksa melalui pelbagai kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan, akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang indah. Rama-rama adalah contoh terbaik untuk wanita sedar betapa bernilainya kehidupan ini.

Sewaktu dipuja, usahlah terlalu mabuk sebaliknya kenanglah kehidupan ketika susah dahulu. Sewaktu kita digoda, dihambat dan dirayu, usahlah terlalu mudah menyerah. Ingatlah mereka yang telah bersusah payah untuk memastikan kita dapat bangkit sebagai seorang manusia yang sempurna pada hari ini. Kemunculan kita adalah lambang pengorbanan ibu bapa.

Usah jadi rama-rama yang diabadikan di dalam bingkai gambar. Indah dipandang tetapi hidupnya sia-sia. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Memelihara kehormatan diri adalah hak seorang wanita. Wanita akan terus berada di tempat paling mulia sekiranya kehormatan dan maruahnya terus dipelihara. Wanita akan kehilangan seluruh masa depannya sekiranya tidak mempedulikan kehormatan dirinya.

Jika rama-rama mengetahui akan kecantikan dirinya yang sentiasa memukau penglihatan manusia, ia tentu tidak akan sewenang-sewenangnya terbang ke sana sini. Rama-rama sentiasa terdedah pada bahaya setiap kali ia mengibarkan sayapnya. Namun, rama-rama tidak pernah mengetahui keindahan yang ada pada dirinya sentiasa menjadi sasaran manusia. Wanita yang tidak mengetahui bahawa keindahan dirinya sentiasa menjadi sasaran lelaki perosak adalah ibarat rama-rama yang tidak menyedari akan bahaya yang sentiasa menanti.

Tingkatkan harga diri kita sebagai seorang wanita. Semakin sukar wanita dimiliki semakin mahal nilai wanita di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki wanita tetapi tidak mahu setia, apalagi memelihara dan melindungi wanita.

Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna kita sebagai seorang wanita. Setelah warna-warna itu hilang, kita akan dibiarkan dan disisihkan. Jadilah wanita anggun yang punya nilai dan maruah diri.Kita akan lebih dihormati.

Nilai seorang wanita bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki kita tetapi terletak pada berapa ramai lelaki yang benar-benar sanggup menyintai kita. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Jika kita masih tidak menemuinya, anggaplah diri kita masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.

" Jadilah wanita yang sentiasa menjaga harga dirinya dan dikagumi semua orang "
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url