Rukun Tawaf Haji

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan bermula dari hajar aswad dan berakhir pada tempat yang sama dengan syarat-syaratnya.

Tawaf haji juga dikenali sebagai tawaf ifadhah. Waktu untuk melakukan tawaf bermula dengan berlalunya separuh malam 10 Zulhijjah. Waktu afdal melakukannya pula adalah pada 10 Zulhijjah setelah melontar Jamratul Kubra dan bergunting.

Syarat-syarat Tawaf

Bagi memastikan tawaf sah jemaah dikehendaki memenuhi beberapa syarat. Syarat-syarat berikut adalah:

*Bermula dan berakhir dari Rukun Hajarul Aswad

*Suci daripada hadas besar dan kecil.

*Menutup aurat.

*Sentiasa mengirikan kaabah semasa tawaf

*Suci Badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.

*Tawaf mesti dilakukan dalam masjidil haram dan di luar binaan kaabah, Hijir Ismail dan Syazarwan.

*Mengerjakannya semata-mata tujuan tawaf.

*Tawaf mestilah cukup tujuh pusingan.

Sunat-sunat Tawaf

Di samping itu di sana terdapat beberapa perkara yang sunat dilakukan semasa tawaf. Di antaranya adalah:

*Berjalan kaki

*Berittiba bagi kaum lelaki dengan meletakkan bahagian tengah kain selendang di bahagian bawah ketiak kanan. Kedua bahagian penghujungnya pula di atas bahu sebelah kiri dengan bahagian bahu sebelah kanannya terbuka (bagi yang berpakaian ihram).

*Mengucup Hajar Aswad pada permulaan setiap pusingan tawaf. Jika sukar untuk mengucup jemaah boleh melambai dengan tangan kanan dan mengucup tangan tersebut sambil mengucapkan takbir.

*Melakukan ramal yakni berlari-lari anak pada pusingan pertama, kedua dan ketiga bagi tawaf yang diiringi dengan saie (lelaki sahaja).

*Istilam Rukun Yamani atau mengisyarat tapak tangan dari jauh disertai membaca takbir tanpa mengucup tangan.

*Muwalat iaitu mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali pusingan secara berturut-turut.

*Melakukan tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.

*Sembahyang sunat tawaf dua rakaat di belakang Makam Ibrahim setelah selesai melakukan tawaf.

*Berzikir, membaca al-Quran atau membaca doa tawaf.

Jenis-jenis Tawaf

Di samping tawaf rukun haji terdapat beberapa jenis tawaf lagi yang ada kaitan dan perlu diketahui oleh para jemaah.

* Tawaf Qudum

Tawaf Qudum ialah tawaf selamat datang. Tawaf ini dilaksanakan oleh mereka yang hendak mengerjakan haji qiran dan ifrad.

* Tawaf Sunat

Tawaf sunat ialah tawaf yang dikerjakan pada bila-bila masa. Selain itu tawaf tahiyatul bait atau tawaf menghormati kaabah juga termasuk dalam tawaf sunat.

* Tawaf Rukun Haji

Tawaf yang mesti dilakukan oleh jemaah haji dalam sebarang keadaan, sekiranya tidak dilakukan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sempurnalah hajinya.

* Tawaf Nazar

Tawaf yang mesti ditunaikan oleh seseorang apabila ia berniat nazar pada sesuatu yang dihajatinya.

* Tawaf Wada’

Tawaf Wada’ ialah tawaf selamat tinggal. Ia wajib dikerjakan bagi mereka yang hendak keluar meninggal kota Mekah lebih dari dua marhalah.

* Tawaf Tahallul

Tawaf Tahallul ialah tawaf yang mesti dikerjakan oleh mereka yang telah berniat mengerjakan haji tetapi terluput atau tidak sempat berwuquf di padang Arafah. Tujuan tawaf ini ialah untuk melepaskan orang tersebut dari ihram hajinya.

* Peringatan

Tawaf boleh juga dilakukan dengan menaiki usungan atau kereta sorong asalkan bahu kiri sentiasa menghala kejurusan Kaabah.

Semua tawaf hendaklah dimulakan dengan niat kecuali tawaf rukun haji, tawaf rukun umrah dan tawaf qudum bagi jemaah yang menunaikan haji ifrad atau qudum.

*Saie Haji

Saie adalah pergi ulang-alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dengan syarat-syaratnya.

Syarat-Syarat Saie

Saei yang sah adalah memenuhi beberapa syarat iaitu:

* Dilakukan selepas mengerjakan tawaf yang sah.

Tawaf Qudum untuk Haji Ifrad atau Haji Qiran.

Tawaf Haji

* Bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit

Marwah.

* Cukup tujuh kali dengan yakin. Dikira dari Safa

ke Marwah satu pusingan dan dari Marwah ke Safa

satu pusingan.

* Hendaklah sampai ke penghujung tempat saie di

Bukit Safa dan Bukit Marwah, pada setiap pusingan

saie.

* Hendaklah melakukan saie di Batnul Wadi

(tempat termaklum)

* Tidak berniat lain yang boleh memesongkan

tujuan saie.

Sunat-sunat Saie

* Keluar ke tempat saie melalui pintu Safa (Babul

As-Safa)

lMenaiki Bukit Safa dan Bukit Marwah sehingga sampai ke batu-batu bukit yang asal.

* Menghadap kiblat dan melambai kedua-dua

tangan sambil bertakbir semasa berada di Bukit Safa

dan Bukit Marwah.

* Muwalat (Berturut -turut)

* Bagi kaum lelaki, lakukan ramal yakni berlari-lari

anak apabila berada di kawasan antara dua lampu

hijau

* Berjalan kaki.

* Dalam keadaan berwuduk

* Bercukur/Bergunting

Bercukur atau bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut di kepala, bagi lelaki dan wanita. Tujuannya ialah untuk membebaskan diri dari pantang larang ihram.

Waktu bergunting atau bercukur adalah dengan berlalunya separuh malam 10 Zulhijjah. Biasanya jemaah akan menunaikan ibadat bergunting setelah selesai melontar jamratul Kubra di Mina.

Sunat-sunat bercukur/bergunting

*Bagi kaum lelaki, adalah afdal bercukur kesemua rambut.

*Bagi kaum wanita, memadailah bergunting tiga helai seruas jari.

*Bagi mereka yang tidak mempunyai rambut, adalah sunat melalukan mata pisau di atas kepala.

*Mulakan cukuran atau guntingan dari sebelah kanan ke sebelah kiri dengan mengadap kiblat, diiringi dengan bacaan doa semasa bercukur sambil memegang rambut di kepala.

Peringatan

*Masa waktu melontar Jamrah Al-Aqabah, Bercukur/Bergunting, Tawaf Haji dan Saie Haji (jika belum dilakukan sesudah Tawaf Qudum) ialah selepas berlalu separuh malam 10 Zulhijjah.

*Tertib dari kebanyakan rukun

Rukun haji yang keenam adalah tertib pada kebanyakan rukun. Rukun-rukun haji tersebut hendaklah dikerjakan mengikut urutan dan tertib pada kebanyakan rukun.

Tertib pada kebanyakan rukun bermaksud tidak sah wuquf kecuali didahului oleh niat ihram haji, tidak sah tawaf kecuali setelah berwuquf dan tidak sah saie kecuali setelah tawaf ifadhah atau tawaf qudum.

Contoh tertib mengikut kebanyakan rukun

* Niat ihram mendahului rukun-rukun yang lain

* Wuquf mendahului Tawaf Haji

* Saie Haji boleh dikerjakan sebelum Wuquf dan Tawaf Haji bagi yang menunaikan Haji Qiran atau Haji Ifrad

* Tawaf dan bercukur/bergunting boleh dilakukan selepas wuquf dan setelah berlaku separuh malam 10 Zulhijjah. Jemaah boleh melakukan mana-mana dahulu.

Penutup

Ibadat haji adalah di antara kemuncak pengabdian diri sesaorang kepada Allah.Ia berkaitan mengorbankan masa, tenaga, perasaan dan harta ke jalan Allah. Justeru, para jemaah hendaklah benar-benar memahami segala-gala yang berkaitan dengan ibadat tersebut agar dapat melaksanakannya dengan sempurna.

Memahami rukun-rukun haji adalah perkara asas dalam menunaikan haji. Semoga kita tidak tergolong dari segelintir jemaah yang menunaikan haji tanpa persiapan ilmu yang mencukupi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url