Abhisit Vejjajiva PM baru Thai


Pemimpin pembangkang daripada Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva hari ini memenangi pengundian di Parlimen dan dipilih sebagai Perdana Menteri baru Thailand.

Sejurus selepas pengundian yang berlangsung dalam suasana tegang, kira-kira 200 penyokong kerajaan terdahulu cuba menghalang ahli-ahli Parlimen daripada meninggalkan bangunan itu dan memecah cermin kereta anggota Parlimen.

Penunjuk perasaan yang memakai baju merah berteriak "Abhisit, calon tentera" sambil melabelkan ahli politik berpendidikan Oxford itu sebagai boneka tentera.

Abhisit memperoleh 235 undi berbanding 198 undi yang diterima oleh lawannya, bekas ketua polis negara, Pracha Promnok yang dicalonkan oleh Parti Puea Thai, parti baru sekutu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Pada sidang media selepas pengundian, Abhisit, 44, berkata, beliau tidak akan menggariskan sebarang cadangan atau inisiatif sehinggalah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Bhumibol Adulyadej sebagai Perdana Menteri Thailand ke-27 dan yang ketiga dalam tempoh empat bulan.

Pengundian itu diadakan hampir dua minggu selepas Mahkamah Perlembagaan membubarkan parti pemerintah pro-Thaksin, Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan mengharamkan Perdana Menteri, Somchai Wongsawat daripada menceburi politik selama lima tahun.

Pembubaran itu pula merupakan kemuncak kepada protes antikerajaan selama berbulan-bulan yang membawa kepada penutupan dua lapangan terbang utama di Bangkok.

Protes meletus semula hari ini apabila ratusan penyokong Thaksin cuba menyekat laluan keluar dari Parlimen.

Seorang pemimpin protes menyampaikan ucapan berapi-api sebelum menggesa penunjuk perasaan menghalang pintu pagar bangunan itu dan tidak membenarkan ahli Parlimen daripada keluar.

- Reuters
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url