MAS potong harga tiket lebih 70 peratus

Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) hari ini menawarkan empat pakej kadar tambang kelas ekonomi yang memberikan diskaun melebihi 70 peratus atas harga tiket kepada pelanggannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Idris Jala berkata, selain daripada potongan harga, penumpang juga boleh menikmati elaun bagasi sehingga 25 kilogram (kg) di samping mata Enrich Miles sehingga 125 peratus.

''Empat pakej yang ditawarkan ialah MHlow Fares, MHbasic, MHsmart dan MHflex yang membolehkan pelanggan menikmati harga tiket yang rendah dan memilih pakej yang bersesuaian untuk mereka. Malah ada kemungkinan pelanggan boleh menikmati potongan harga tiket sehingga 100 peratus bergantung kepada destinasi dan jenis penerbangan.

''Satu lagi kelebihan MHValue Fares ini ialah ia kekal dan bukannya satu promosi bagi jangka masa tertentu,'' katanya kepada media selepas pelancaran kadar baru itu di sini hari ini.

MHValue Fares sudah mula dijual kepada pelanggan bermula hari ini manakala bagi penerbangan antarabangsa pula, jualan akan bermula pada Februari tahun depan, tambahnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Kanan (Rangkaian dan Pengurusan Perolehan) MAS, Dr. Amin Khan.

Idris memberitahu, pihaknya mengambil masa setahun untuk menjalankan kajian mengenai kadar baru tersebut dengan mengambil kira perkhidmatan dan amalan 21 syarikat penerbangan dunia sebelum melancarkannya.

Ini menjadikan MHValue Fares adalah tawaran yang terbaik kerana ia memiliki pelbagai kelebihan yang sesuai untuk semua golongan iaitu daripada pelajar hingga kepada profesional.

Menjawab pertanyaan mengenai tindakan MAS memperkenalkan kadar tersebut pada waktu ekonomi perlahan, beliau menyatakan ia merupakan masa yang sesuai untuk melancarkannya.

Tawaran sebelum ini, Everyday Low Fares dan All Inclusive Low Fares telah membuktikan bahawa pelanggan gemarkan kepelbagaian kadar tambang yang murah dan melancong menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan bertaraf lima bintang, katanya.

Ini dapat dilihat apabila jualan melalui internet syarikat penerbangan itu meningkat sehingga RM450 juta sejak ia mula ditawarkan sehingga hari ini, ujar beliau.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url