Bila dunia mahu hentikan kekejaman Israel?

Israel seolah-olah tidak mahu penutup tirai bagi tahun 2008 di Asia Barat berlalu dengan aman. Sebaliknya rejim zionis itu bertindak kejam dengan melancarkan serangan udara besar-besaran di Genting Gaza yang membunuh hampir 300 rakyat Palestin dan beratus lagi cedera sejak Sabtu lalu.

Hujung minggu lalu boleh dianggap sebagai hari-hari paling berdarah selama berpuluh tahun konflik Israel-Palestin.

Selain Amerika Syarikat (AS), negara di dunia seperti biasa akan mengutuk keras tindakan kejam Israel itu.

Tetapi, apakah Israel akan mengambil peduli seruan masyarakat dunia sekarang supaya dihentikan serangan ganas itu? Selagi AS terus membela Israel dan menyalahkan Hamas yang menguasai Gaza, selagi itu keamanan tidak akan tercapai.

Sebaliknya ketika penduduk Gaza dibunuh kejam dan ditindas oleh zionis, AS pula meminta Hamas segera mengadakan gencatan senjata kembali dan menghentikan serangannya ke Israel jika konflik terbaru ini ingin berakhir. Gesaan itu berat sebelah.

Masyarakat antarabangsa perlu prihatin terhadap perlakuan kejam dan keangkuhan yang ditunjukkan oleh Israel selama ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), misalnya tidak harus lagi sekadar mengeluarkan kenyataan yang mengutuk serangan itu sahaja tetapi ia perlu mengambil langkah segera bagi menangani masalah yang boleh mencetuskan tragedi yang lebih dahsyat daripada itu.

Kita percaya Hamas sudah pasti akan membalas dendam. Pejuang-pejuang berani mati Hamas sudah tentu tidak akan membiarkan Israel bebas melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin selepas ini.

Jika hal demikian, sampai bila krisis Israel-Palestin akan berakhir?

Sebab itu masyarakat dunia perlu bertindak segera. Dan sudah tiba masanya, peneraju keamanan dunia serta masyarakat antarabangsa campur tangan bagi menghentikan 'keganasan' itu.

Dunia perlu buat sesuatu supaya kerakusan Israel itu dapat dihentikan dan pada masa yang sama, penyelesaian yang lebih adil dan saksama dapat dicapai.

Kini, PBB perlu memikirkan semula cadangan banyak negara termasuk Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya dihantar pasukan pengaman ke wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Langkah ini difikirkan paling berkesan untuk meredakan keadaan dan menamatkan pertelingkahan Israel-Palestin seperti yang dilakukan di beberapa negara bergolak sebelum ini.

Selagi masyarakat antarabangsa tidak berbuat sesuatu, selagi itulah Israel akan terus bermaharajalela dan keamanan di Palestin hanya tinggal harapan.

Kita percaya penyelesaian masalah Palestin merupakan kunci utama perdamaian masa depan.

Apa pun adalah penting masyarakat dunia menyedarkan Israel dan AS segera bahawa dasar- dasar mereka di Asia Barat hanya merosakkan keamanan dunia dan melanjutkan peperangan berbentuk keganasan sejagat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url