BN yakin pertahan semula kerusi Kuala Terengganu

Umno dan Barisan Nasional (BN) yakin akan dapat mempertahankan semula kerusi Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 17 Januari ini, walaupun pembangkang meletakkan calon `kuat' mereka termasuk Mohd Sabu untuk bertanding.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya yakin menerusi sokongan padu semua pihak terbabit, harapan itu akan tercapai terutama selepas kepemimpinan BN di Terengganu sendiri sudah menjalankan kerja awal bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.

"Kita tidak kisah, siapa pembangkang akan letak bertanding termasuk Mohd Sabu yang pernah tewas sebelum ini. Berkat sokongan padu dan dedikasi setiap ahli jentera parti, BN mampu mempertahankan semula kerusi ini," katanya selepas majlis penganugerahan Datuk kepada artis terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan di Seri Negeri, Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai pilihan raya kecil itu, Mohd Ali yang juga Pengerusi BN negeri berkata, Melaka akan menghantar kira-kira 100 ahlinya yang diketuai Ketua Umno Alor Gajah, Datuk Abdul Ghafaar Atan untuk membantu jentera parti BN di Kuala Terengganu.

Mengenai tempoh berkempen selama 11 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya, beliau menyokongnya kerana ia memberi masa yang cukup untuk setiap parti bertanding membuat persiapan dan berkempen.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url