Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang SPK, Pencen

Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2008 tanpa sebarang pindaan, sehari selepas ia meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008.

Rang Undang-Undang SPK 2008 dan SPRM 2008 dibentangkan buat bacaan kali pertama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 11 Disember lalu.

Rang Undang-Undang SPK dan SPRM merupakan antara janji Perdana Menteri dalam membawa pembaharuan terhadap pentadbiran kerajaan dan meningkatkan integriti badan kehakiman negara serta pencegahan rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan SPK 2008 berkata, dakwaan beberapa Senator bahawa rang undang-undang berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas.

‘‘Pejabat Peguam Negara yang berpengalaman menggubal banyak undang-undang telah membuat semakan supaya ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pendapat

‘‘Saya berharap para Senator tidak membuat andaian bahawa wujudnya percanggahan semata-mata kerana mendengar pendapat seorang dua peguam,” katanya.

Hari terakhir sesi Dewan Negara berkenaan turut meluluskan Rang Undang-Undang Pencen (Pindaan)(No.2) 2008 yang membolehkan pelaksanaan empat dasar baru bagi menambah baik faedah persaraan dan faedah terbitan anggota sektor awam.

Antaranya memberi peluang kakitangan yang memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali menyertai Skim Pencen.

Ia juga memansuhkan syarat pemastautin di Malaysia bagi pemberian pencen bulanan kepada balu, duda dan anak pegawai atau pesara yang meninggal dunia melebihi 12 tahun enam bulan daripada tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan.

Ketika menggulung perbahasan itu, Mohamed Nazri menjelaskan, lelaki yang mempunyai empat isteri kakitangan awam akan menerima kesemua pencen berkenaan sekiranya keempat-empat mereka meninggal dunia.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url