Individu paling berpengaruh

Bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih menduduki tempat teratas senarai 50 individu paling berkuasa dan berpengaruh dunia 2008 anjuran majalah Newsweek yang menghimpunkan nama besar antarabangsa daripada termasuk pemimpin politik, ekonomi, media dan pertubuhan, tokoh korporat, selebriti popular serta orang buruan.

Lebih mengejutkan, senarai 'Elit Kuasa Dunia' yang disiarkan dalam edisi terbaru majalah itu bagi bulan depan, turut menyenaraikan orang buruan nombor satu dunia yang juga pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden yang berada di tempat ke-42 serta Presiden Korea Utara, Kim Jong Il di tempat ke-12.

Obama, 46, yang mencipta sejarah sebagai presiden kulit hitam pertama Amerika, akan mengangkat sumpah memegang jawatan itu pada 20 Januari depan.

Beliau yang berketurunan campuran Scotland, Ireland, Cherokee Indian (Pribumi) dan etnik Lueo dari Kenya, sebelum ini mencipta sejarah sebagai calon kulit hitam pertama pernah mewakili parti utama dalam pemilihan Presiden.

Di tempat kedua, Presiden China Hu Jintao, Presiden Perancis Nicholas Sarkozy (ketiga), manakala tempat keempat, kelima dan keenam menjadi milik tiga nama besar ekonomi, Ben Bernanke (Rizab Persekutuan), Jean-Claude Trichet (Pengerusi Bank Pusat Eropah) dan Pengerusi Bank Pusat Jepun, Masaaki Shirakawa.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown di tempat ketujuh, manakala Canselor Jerman, Angela Merkel (kelapan), Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin (sembilan) dan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Al-Saud di tempat ke-10.

Selain Raja Abdullah, pemimpin Islam lain yang turut tersenarai ialah pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei (11), Perdana Menteri Iraq Nuri al-Maliki (21), Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khalifa bin Zayed Al Nahyan (25), pemimpin pergerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah (43) dan Panglima Tentera Pakistan, Ashfaq Parvez Kayani di tempat ke-20.

Pelakon Shah Rukh Khan berada di tempat ke-41 yang disifatkan sebagai 'Raja Bollywood.'

- Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url