Top Ad 728x90

Jangan bangkit isu perkauman

Semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari depan dinasihatkan tidak berkempen menggunakan kaedah berbentuk negatif terutamanya yang menyentuh sensitiviti kaum.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti-parti berkenaan perlu bertindak mengikut landasan dan proses undang-undang selain tidak menimbulkan fitnah, tohmahan dan mengedar risalah yang boleh menjejaskan perpaduan kaum ketika berkempen.

Menurut beliau, pengalaman masa lalu perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak bahawa pentingnya bagi negara mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa.

"Tiada salah untuk semua pihak terlibat berkempen dan menerangkan dasar serta perjuangan parti asalkan mereka tidak menggunakan perkara-perkara atau isu yang boleh menimbulkan masalah perpaduan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Gema Semarak Padu Peringkat Negeri Terengganu di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, kementerian telah melantik kira-kira 250 pegawai perantara komuniti bagi mengendalikan sebarang konflik yang berlaku di perkampungan atau taman perumahan.

"Mereka juga akan bertindak sebagai pemantau isu-isu melibatkan sensitiviti kaum yang timbul dan cuba meredakan keadaan sebelum ia bertambah buruk.

"Pegawai berkenaan telah dilantik sejak 15 Disember lalu dan diberikan latihan termasuk cara memberikan kaunseling bagi menangani kes perbalahan kaum di peringkat awal agar ia tidak merebak dan menjejaskan keadaan," ujarnya.

Beliau memberitahu, pegawai perantara juga boleh memainkan peranan untuk meredakan keadaan dan memaklumkan kepada pihak berkuasa terlibat termasuk polis apabila keadaan menjadi buruk.

"Pegawai terbabit turut bekerjasama dengan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rukun Tetangga dan pertubuhan berkaitan serta menapis maklumat tidak tepat yang ditimbulkan terutama menerusi blog dan membantu menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat," jelasnya.

Beliau berkata, kementerian juga akan membekalkan 1,000 unit komputer ke Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh negara bermula tahun depan bagi membantu usaha kerajaan menyalurkan maklumat yang tepat terutamanya menyentuh sensitiviti kaum.

"Dengan cara ini, rakyat ada pilihan untuk mendapat maklumat yang tepat dan tidak lagi hanya bergantung pada laporan televisyen, surat khabar atau blog," katanya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90