Krismas disambut pelbagai cara di serata dunia
Penganut Kristian di seluruh dunia menyambut Krismas dengan pelbagai cara dengan bertukar-tukar hadiah, mengunjungi gereja dan hiasan pokok Krismas serta lampu gemerlapan.
Sambutan Krismas tahun ini agak berbeza, berikutan kelembapan ekonomi dan pergolakan yang melanda beberapa negara di dunia.
Sambutan di tempat kelahiran Jesus di Baitulaham, Tebing Barat diteruskan, walaupun Israel mengancam akan melancarkan serangan udara ke atas pejuang Hamas, berikutan tindakan pergerakan Palestin itu melancarkan serangan roket ke arah wilayah Israel selepas gencatan senjata antara Hamas dan Israel tamat enam hari lalu.
Ribuan penganut Kristian termasuk dari Tebing Barat, Genting Gaza, Israel dan seluruh dunia, berkumpul di Dataran Manger sejak semalam untuk meraikan Krismas di bawah perlindungan pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang turut menghadiri sambutan di situ.
sementara itu, sambutan Krismas di Amerika Syarikat (AS) yang biasanya meriah, sedikit suram berikutan ribut dan salji tebal melanda bahagian utara, tengah dan timur negara kuasa besar itu, menyebabkan ramai terkandas di lapangan terbang kerana penerbangan dibatalkan akibat cuaca buruk.
Selain itu, Krismas yang biasanya menjadi musim membeli hadiah di AS adalah yang terburuk dalam sejarah kerana rakyat bimbang mengenai kerjaya masing-masing dan tidak ramai yang keluar membeli-belah.
Di Iraq, penganut Kristian meraikannya secara kecil-kecilan dan menyambutnya seawal pagi dan bukan tengah malam seperti di negara lain kerana bimbang berlakunya serangan, walaupun kerajaan telah mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum bagi menggambarkan keterbukaan terhadap agama lain di negara itu.
Malah Krismas di Iraq hari ini turut dicemari dengan satu letupan berani mati menggunakan kereta yang meragut empat nyawa dan mencederakan 25 yang lain di daerah Shula ketika anggota polis dan pekerja sedang bersarapan.
Di wilayah Harbin, China, sambutan Krismas menyaksikan pembinaan patung ukiran ais Santa Claus terbesar dunia sepanjang 160 meter dan setinggi 24 meter, lengkap dengan janggut dan topi.
Lain pula halnya di Korea Selatan kerana ramai yang gembira apabila "Santa Rahsia" yang pernah menderma lebih 81 juta won (RM210,254) sejak tahun 2000 telah kembali ke bandar Jeonju, di barat daya negara itu dan meletakkan kotak berisi wang tunai berjumlah 20 juta won (RM52,000) yang akan dibahagikan kepada 100 keluarga.
Di Indonesia, kerajaan memberi pengampunan dengan membebaskan 221 orang tahanan yang berkelakuan baik sementara 7,024 lagi dikurangkan hukuman.
Krismas tahun ini di Zimbabwe tidak berbeza dengan hari-hari biasa kerana negara itu masih bergelut dengan keadaan inflasi yang sangat tinggi, wabak taun yang setakat ini telah mengorbankan 1,100 nyawa serta kancah politik yang masih bergolak.
Di Afghanistan, seorang tentera Britain ditembak mati ketika bertempur dengan militan di daerah Nad Ali, wilayah Helmand malam tadi menjadikan sambutan Krismas bagi keluarganya di tanah air bertukar menjadi suasana pilu.
- Agensi