Jumaat, Disember 26, 2008

Muhasabah di ambang tahun baru

Beberapa hari lagi kita akan menyingkap tirai tahun baru Masihi dan tahun Hijrah. Saban tahun, apabila menjelangnya mentari pagi tahun baru, manusia mulalah menanam pelbagai azam tahun baru adakalanya tanpa sempat menilai semula apa yang berlaku pada tahun sudah.

Tidak kurang juga pelbagai persiapan diadakan sempena menyambut tahun baru. Yang paling jelas ialah acara menanti detik 12 malam yang saban tahun diadakan tanpa muhasabah tentang kebaikan yang diperoleh daripadanya. Ia berlaku hampir saban tahun tanpa ketinggalan dan menjadi rutin tahunan. Malah ada yang menganggapnya sebagai suatu kemestian untuk menyambut tahun baru.

Cuma pada tahun berlakunya tsunami 2004, upacara itu telah dinasihatkan oleh Perdana Menteri supaya tidak diadakan bagi menghormati perasaan mangsa-mangsa tsunami yang baru sahaja ditimpa musibah. Namun, pada tahun-tahun berikutnya, ia menjadi seperti daun keladi yang padanya air dicurah.

Walaupun kebaikan yang akan diperolehnya tidak begitu jelas, namun masih ramai yang mengunjunginya. Apa yang ketara pada pandangan mata ialah jamuan pelbagai bentuk hiburan kepada ribuan khalayak yang menanti detik 12 malam. Pada kebiasaannya, ia diadakan di tempat terbuka dengan sesiapa sahaja boleh masuk dengan percuma. Sesiapa sahaja boleh masuk dan berada di samping sesiapa sahaja yang mereka suka, tanpa mengira batas jantina, umur, jauh sekali untuk memikirkan soal mahram dan kawalan susila. Cara berpakaian pula asalkan enak mata memandang.

Menyambut

Keesokan paginya padang keramat akan penuh dengan sampah sarap. Bungkusan plastik, tin minuman, alas duduk dan segalanya pasti memenuhi saujana mata memandang. Pada saat golongan yang menyambut tahun baru ini sedang enak tidur kerana mengantuk akibat pulang lewat, pekerja majlis perbandaran dan dewan bandar raya terpaksa berkerja pada hari cuti umum semata-mata untuk mencuci sampah yang dibuang oleh terlalu ramai pelawat yang mencuci mata dan telinga.

Sesungguhnya tiada apa yang istimewa pada sambutan menjelangnya tahun baru. Keseronokan yang dicari di padang hanyalah bersifat amat sementara dan pada harga tinggi yang perlu dibayar. Masa berharga wajar digunakan untuk bersama keluarga bagi menjalin hubungan mesra serta beristirehat menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya.

Kita seharusnya menggunakan peluang masa di ambang tahun baru untuk menilai semula sejauh mana prestasi kita pada sepanjang tahun lama. Adakah kita telah mencapai sasaran yang ditetapkan, jika tidak mengapa dan bagaimana harus kita memperbaikinya. Jika sebaliknya, bagaimanakah kita dapat mempertingkatkan lagi kualiti hidup kita sejajar dengan objektif hidup sebagai seorang khalifah di muka bumi. Manusia yang beruntung ialah mereka yang hari ini lebih baik berbanding hari semalam dan hari esok lebih baik dari keadaan sekarang.

Kita juga harus sedar dengan amaran-amaran yang telah diberikan baik berbentuk kegawatan ekonomi, bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, rebut salji dan sebagainya. Kesemuanya itu adalah ujian dan petanda untuk mengukur prestasi diri sendiri pada skala pandangan pemilik alam ini. Berhibur jika kena pada tempat dan caranya akan menzahirkan sifat peribadi hamba yang bersyukur, tetapi jika tidak pastinya lambat laun kita akan tersungkur.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts