Top Ad 728x90

Pastikan BN menang

Barisan Nasional (BN) sukar menawan Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil bulan depan sekiranya wujud golongan yang memberikan maklumat mengenai perjalanan dan strategi parti kepada pembangkang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka yang diumpamakan sebagai golongan yang 'bermain mata' itu amat merugikan parti kerana menyukarkan BN dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Beliau berkata, terdapat juga ahli parti dan pemimpin parti yang berperangai seperti bermain 'silap mata' apabila sanggup melihat UMNO dan BN kalah.

Menurutnya, golongan tersebut tidak menghiraukan BN yang merupakan parti yang satu-satunya memperjuangkan nasib orang Melayu dan bangsa lain.

''Saya berpendapat golongan yang bermain 'silap mata dan bermain mata' memang ada apabila mereka seolah-olah menjadi pemberi maklumat kepada parti pembangkang pada pilihan raya kecil ini.

''Oleh itu, saya meminta sekiranya ingin berjuang, mereka boleh berjuang tetapi jangan menipu serta menjadikan diri sebagai golongan yang tergolong dalam kumpulan munafik," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjalanan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bakal diadakan 17 Januari tahun depan.

Terdahulu beliau melawat dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Kepala 10, Long Boh di sini.

Shahidan berkata, pilihan raya kecil itu sangat penting kepada BN dan UMNO bagi menentukan kemenangan parti yang seterusnya.

''Untuk menang pada pilihan raya kecil ini kita tidak lagi boleh tidur (ambil mudah) dan tidak boleh wujud golongan yang 'bermain mata' dengan pembangkang.

''Perlu wujud keikhlasan dalam diri pemimpin itu sendiri apabila ingin berjuang dalam parti yang satu-satunya dapat memastikan Melayu dan bangsa lain di negara ini selamat," ujarnya.

Tambahnya, bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, Badan Perhubungan UMNO Perlis akan menghantar bantuan dalam jumlah yang berpatutan dalam usaha memberikan sokongan moral sebelum penamaan calon pada 6 Januari ini.

''Kita tidak menolak kemungkinan bahawa pembangkang akan hantar ramai penyokong luar dalam membantu mereka menghadapi pilihan raya kecil ini dan disebabkan itu kita juga perlu memberikan sokongan moral yang padu.

''Saya juga sangat yakin Badan Perhubungan UMNO negeri lain juga akan memberi sokongan moral tidak berbelah bahagi dalam memastikan pengundi Kuala Terengganu terus menyokong BN," jelasnya.

Pemimpin-pemimpin UMNO perlu menunjukkan komitmen penuh bagi memastikan kemenangan mutlak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka tidak wajar menjadikan kempen pilihan raya kecil berkenaan sebagai medan untuk berkempen bagi jawatan parti yang ditandingi mereka pada Mac depan.

''Sepatutnya, pada masa ini tumpuan 100 peratus haruslah diberikan kepada calon BN di Kuala Terengganu bagi memastikan kemenangan parti kelak," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan persiapan sambutan perayaan Krismas Peringkat Kebangsaan di Perkampungan Portugis di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang memberi amaran kepada semua calon yang bertanding pada pemilihan parti Mac ini agar tidak menjadikan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan sebagai medan berkempen jawatan parti.

Mohd. Ali berkata, peringatan Perdana Menteri itu wajar diberi perhatian dan pegangan oleh calon-calon yang bertanding pada pemilihan parti Mac ini.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90