StanChart komited utama graduan tempatan
Ketua Sumber Manusia StanChart Malaysia, Rahmat Roslan Hashim berkata, lebih 200 pegawai tempatan (rakyat Malaysia) telah dihantar ke luar negara untuk mengendalikan perniagaan StanChart.
Katanya, StanChart Malaysia mempunyai dua program bagi menyokong usaha syarikat dalam melahirkan pekerja berkualiti iaitu Program Graduan Antarabangsa dan Perintis Perbankan bagi membolehkan syarikat membentuk seseorang pekerja berpotensi untuk menjadi pemimpin atau pengurus.
"Melalui Program Perintis Perbankan, pihak syarikat memberi tumpuan kepada graduan tempatan untuk mengisi jawatan dalam sektor perniagaan pelanggan dan perbankan borong serta setaraf dengan graduan luar," katanya ketika diwawancara di Menara Standard Chartered di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan pertumbuhan syarikat pada masa ini yang memerlukan tenaga kerja berdaya saing dan persediaan bagi syarikat untuk menggalas cabaran di masa depan agar mencapai kualiti bank tahap dunia.
Menurutnya, di dalam industri perbankan, Malaysia dikatakan tidak kekurangan graduan berkelayakan.
''Yang kurang ialah graduan yang mempunyai kebolehan atau skil dalam bidang tertentu sahaja dan kebolehan berkomunikasi,'' kata Rahmat.
Katanya, pihaknya juga ada menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengenal pasti dari awal dan merekrut graduan tempatan yang berkelayakan dan mencapai piawaian mereka.
Selain itu ujarnya, jalinan kerjasama dengan universiti tempatan itu juga bagi membuka minda para graduan universiti tempatan akan dunia sebenar berkerja di bank dengan pendedahan melalui ceramah dan bengkel yang mereka anjurkan di universiti tersebut.
''Di samping itu, StanChart juga mengadakan Pertandingan Esei StanChart-Universiti 2008/09 yang dilancarkan esok untuk penyertaan pelajar tiga buah universiti tersebut dengan topik 'Perbankan Islam dan Relevannya Kepada Simpanan Peribadi Saya",'' ujarnya.
Pemenang utama akan menerima RM2,000 yang akan dimasukkan ke dalam akaun StanChart Saadiq manakala setiap esei terbaik dari tiga buah universiti itu pula akan menerima RM1,500 dan pembentang terbaik juga akan menerima RM1,500.
Pertandingan esei ini akan berakhir pada 28 Februari 2009 dan akan ditapis oleh pihak universiti dahulu dan kemudiannya dinilai kembali oleh StanChart menerusi pembentangan pada bulan Mac tahun hadapan.