Synergy Card sasar 20,000 pemegang kad baru


Synergy Cards Sdn. Bhd. (Synergy Cards) menjangka dapat menarik 20,000 pemegang kad baru dalam tahun pertama operasi melalui kad kredit Synergy + MasterCard yang dilancarkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yap Chee Kong berkata, kad kredit yang terdiri daripada kad Gold dan Classics itu disasarkan kepada semua pengguna yang layak dan tertakluk kepada kelulusan daripada AmBank Malaysia Bhd. (AmBank)

Katanya, kad itu juga ditawarkan kepada mereka yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehingga kini, kata beliau, Synergy Cards mempunyai dua juta kad loyalti, 500,000 kad prabayar dan 200,000 kad caj dalam edaran di Malaysia.

‘‘Kami mengunjurkan pertumbuhan 15 peratus pada asas tahunan bagi semua kad dalam edaran kami,” katanya selepas melancarkan kad Synergy+ MasterCard, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Synergy Cards, Datuk Abdul Murad Khalid dan Naib Presiden dan Pengurus Negara Kanan (Malaysia dan Brunei) MasterCard, Jim Cheah.

Synergy Cards yang merupakan anak syarikat Advance Synergy Bhd. menguruskan program kad caj, kad prabayar dan kad loyalti dan kini mempunyai seramai 12 pedagang yang menerima kad kredit.

Sebagai ahli bukan institusi kewangan MasterCard Worldwide, Synergy Cards telah bekerjasama dengan AmBank bagi menyediakan saluran kredit kepada pemegang kad.

Chee Kong berkata, pihaknya mampu meluaskan sokongan kukuh daripada MasterCard Worldwide dan AmBank untuk memperkenalkan kad kredit baru ini.

‘‘Pelancaran kad ini selaras dengan usaha untuk mengurangkan penggunaan tunai supaya pengurusan tunai dan keselamatan yang lebih berkesan,” katanya.

Ujarnya, kad baru itu mematuhi EMV (Europay, MasterCard dan Visa) dan boleh diterima di seluruh dunia di lebih daripada 28 juta lokasi.

‘‘Kami mengunjurkan perolehan akan meningkat kepada RM18 juta tahun depan dan menyasarkan antara lima hingga enam pedagang pada awal tahun depan.

‘‘Setakat ini, segmen kad hanya menyumbang 10 peratus kepada perolehan tetapi kami berhasrat untuk meningkatkan sumbangan kepada 20 peratus tahun depan,” jelasnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url