UiTM Kelantan perkenal pengajian pertanian
Pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Hussin @ Mohamad Ab. Rahman berkata, bidang pengajian itu dimulakan tahun depan di kampus tersebut bagi melahirkan modal insan yang dapat membantu menjana ekonomi negeri yang berteraskan kepada pertanian.
"Teras pengajian asal UiTM Kelantan ialah dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta seni reka.
"Untuk melangkah ke hadapan kita merangka bidang berorientasikan pertanian yang akan meneroka bidang seperti perkayuan, perhutanan dan peladangan.
''Ia disebabkan kita mahu membantu negeri ini yang ekonominya berteraskan pertanian," katanya di sini hari ini.
Hussin berkata, ia juga dirangka memandangkan sehingga kini masih tiada IPTA yang menawarkan kursus dalam bidang pertanian di negeri ini.
Katanya, perancangan itu juga dibuat bagi membantu orang Melayu yang tinggal di kawasan kampung membangunkan tanah mereka yang terbiar.
"Ia adalah cabaran kepada universiti untuk membantu penduduk kampung membangunkan tanah terbiar.
"Tanah terbiar boleh dijadikan sebagai sumber pengajian, jadi dengan kemudahan infrastruktur di kampus UiTM di Machang dan Jeli ia memberikan kita kelebihan untuk meneroka dalam bidang berkenaan," katanya.
Menurut beliau, universiti tersebut juga mengharapkan bantuan serta kerjasama daripada agensi pertanian seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI).
"Kalau ada kerjasama dengan agensi pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ia amat bagus, satu langkah strategik dalam membantu membangun generasi muda di desa yang terabai," katanya.