Top Ad 728x90

Untukmu Darul Iman

Ternyata pilihan raya umum berlangsung pada Mac lalu telah mengubah landskap politik negara. Juga tahun 2008 merupakan jangka waktu yang hebat dari segi pergolakan politik negara, tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Dari Mac 2008 ke Mac 2009, sektor politik di negara ini bergejolak menarik.

Tetapi buat seketika ini, fokus adalah kepada pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebagai pembuka tirai gelanggang politik tahun 2009. Walaupun dijangka lima calon akan ikut serta tetapi sama ada sabut yang timbul, atau batu yang tenggelam terletak pada UMNO dan Pas. Atau Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, hakikatnya apabila pengundi memangkah pada kertas undi, perkiraannya adalah kepada nasib negeri Terengganu Darul Iman.

Sememangnya pilihan raya kecil ini adalah untuk menghantar seorang wakil rakyat bagi mewakili penduduk Kuala Terengganu ke Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. Ia bermakna wakil rakyat ini akan mengisi satu kerusi dalam sebuah badan tertinggi penggubal undang-undang Persekutuan Malaysia yang di salah sebuah negerinya ialah Terengganu.

Atas kesediaan Terengganu untuk menyertai Persekutuan Tanah Melayu, maka Malaysia kemudiannya dapat diwujudkan. Justeru, entiti politik yang wujud bukannya Malaysia tetapi adalah negeri-negeri, antaranya adalah Terengganu. Dari entiti inilah, maka Persekutuan Malaysia diwujudkan.

Maka kesediaan Terengganu dan negeri-negeri lain untuk bergabung dalam Persekutuan Malaysia adalah untuk kepentingan diri dan kesejahteraan bersama. Maka kehadiran wakil- wakil rakyat dari Terengganu di Kuala Lumpur adalah demi Darul Iman. Salah seorang daripada wakil yang hendak dihantar itu ialah calon yang akan dipilih dalam pilihan raya kecil akan datang.

Lebih lama

Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 dan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955, tetapi sejarah Terengganu jauh lebih lama lagi. Malah lebih lama daripada penubuhan negeri Melaka. Tetapi kesultanan Terengganu sebagai asas rasmi penubuhan negeri itu diwujudkan bermula pada tahun 1724.

Ibu negerinya ialah Kuala Terengganu. tetapi lebih penting lagi ialah sifatnya sebagai bandar diraja negeri itu. Kalau ibu negeri adalah bandar pentadbiran dan politik tetapi entiti sesebuah negeri terletak pada bandar diraja. maka itulah yang menjadikan Kuala Terengganu itu bertambah penting.

Dalam pilihan raya, apa yang diambil kira ialah pilihan penduduk kawasan berkenaan terhadap wakil yang hendak dihantar ke Parlimen. Tetapi penduduk Kuala Terengganu mempunyai kedudukan istimewa sebagai penghuni di sebuah kawasan Parlimen di mana ia merupakan nadi entiti Terengganu Darul Iman. Justeru, pengundi di situ mempunyai amanat untuk menyatakan gagasan kenegerian Darul Iman ke dalam Parlimen Malaysia.

Seperti mana penduduk London jadi penyerlah identiti Britain, Paris untuk Perancis dan Beijing untuk China, maka jati diri Terengganu datang daripada ibu negerinya itu. Sementara jati diri Terengganu dapat diungkapkan pada istilah nama negeri iaitu Darul Iman.

Ini kerana hakikatnya Darul Iman bukan sekadar sebagai sebahagian daripada nama Terengganu. Ia mempunyai pemahamannya sendiri terhadap bentuk pemerintahan yang hendak diwujudkan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Terengganu pada asasnya ialah sebuah negeri Melayu tetapi dalam erti kata inklusif iaitu meliputi semua kaum yang ada di situ. Hubungan China dan Terengganu sudah wujud lama sebelum negeri itu menjadi sebahagian daripada kesultanan Melaka. Ada antara penghijrah itu menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu melalui asimilasi perkahwinan. Tetapi komuniti kecil Cina di Kuala Terengganu sudah menjadi sebahagian watak negeri itu.

Begitu juga dengan sifatnya sebagai sebuah negeri Islam yang diungkapkan dalam istilah Darul Iman. Ia juga melangkaui semua kepentingan politik. Iman merupakan milik paling tinggi bagi seseorang. Maka begitu tingginyalah hasrat gagasan yang bernama Terengganu Darul Iman.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90