Netflix naikkan harga langganan pengguna di Malaysia

 


Pengguna Netflix di Malaysia kini perlu membayar lebih bagi semua kategori pelan langganan dengan kenaikan antara RM1 hingga RM7 sebulan termasuk kadar bagi slot ahli tambahan.

Semakan di laman web penyedia kandungan berbayar itu mendapati, kenaikan menyaksikan pelan 'Mobile' yang sebelum ini berharga RM18.90 sebulan kini meningkat RM1 kepada RM19.90, manakala pelan 'Basic' naik RM4 daripada RM29.90 kepada RM33.90 sebulan.

Pelan 'Standard' pula meningkat RM6, daripada RM49.90 kepada RM55.90 sebulan, manakala pelan 'Premium' mencatat kenaikan tertinggi sebanyak RM7 daripada RM62.90 kepada RM69.90 sebulan.

Selain kadar langganan utama, Netflix turut menyemak semula caj bagi slot ahli tambahan yang tidak tinggal serumah dengan pemegang akaun.

Bagi pelan 'Standard', pengguna boleh menambah seorang ahli dengan bayaran RM14.90 sebulan, meningkat daripada RM13 sebelum ini.

Sementara itu, pelanggan pelan 'Premium' boleh menambah sehingga dua ahli tambahan, dengan setiap slot dikenakan caj RM14.90 sebulan berbanding RM13 sebelum ini.

Berdasarkan notis daripada Netflix kepada pelanggannya, pelarasan harga itu dibuat bagi memastikan pihaknya terus menambah baik perkhidmatan selain membolehkan lebih banyak siri televisyen dan filem baharu ditawarkan kepada pelanggan setiap minggu.

Dengan kenaikan terbaharu itu, pengguna yang memilih pelan 'Premium' kini perlu memperuntukkan hampir RM840 setahun untuk langganan, tidak termasuk kos slot ahli tambahan.

Bagi pengguna yang menambah dua slot ahli tambahan pada pelan 'Premium', jumlah bayaran bulanan meningkat kepada RM99.70, bersamaan hampir RM1,200 setahun.

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url